SHANGHAI: Hanya Majlis Raja-Raja (MRR) yang akan menentukan sebarang keputusan untuk melaksanakan dasar bagi mewajibkan penggunaan sijil halal di premis makanan termasuk yang diusahakan peniaga bukan Islam.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua pihak tidak perlu berasa tergugat, apatah lagi ketika ini langkah mewajibkan penggunaan sijil halal itu masih pada peringkat cadangan.
Susulan itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara berkata polemik pensijilan halal ini seharusnya diredakan serta-merta.
“Ia (cadangan mewajibkan penggunaan sijil halal) hanya cadangan kajian, bukan lagi menjadi dasar (kerajaan).
“Saya tidak fikir mana-mana pihak berasa khuatir dengan cadangan kajian itu.
“Soal hal ehwal agama termasuk isu halal ini adalah kuasa MRR.
“Jadi sama ada jika kajian itu nanti mewajibkan (penggunaan sijil halal) atau tidak, itu terserahlah kepada MRR,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di akhir lawatannya ke Shanghai, China, lapor Berita Harian Malaysia.
Polemik isu sijil halal ketika ini tercetus selepas Ahli Parlimen (AP) Seputeh, Cik Teresa Kok, mendakwa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela dan cadangan mewajibkan restoran serta syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.
Kenyataan itu kemudian mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Pemuda Umno, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.
Cik Kok kini disiasat polis kerana didakwa menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum).
Mengulas lanjut, Datuk Ahmad Zahid berkata Majlis Halal Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah mengambil tindakan untuk memendekkan tempoh kelulusan bagi permohonan sijil halal.
“Dulu prosesnya mengambil masa sembilan bulan, kemudian atas persefahaman Majlis Halal Negara dan Jakim, ia dipendekkan kepada 23 hari bekerja.
“Kini ia sudah dipendekkan lagi kepada 15 hari bekerja iaitu dari tarikh permohonan dikemukakan dengan syarat semua keperluan (bagi permohonannya) itu sudah dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata sebelum keputusan memendekkan tempoh permohonan itu dilaksanakan, Jakim juga sudah memanggil pemohon dan pemegang taruh lain untuk mengadakan sesi libat urus.
“Jakim akan memberitahu apakah syarat yang perlu dipatuhi bagi mempermudahkan urusan ini dan tidak wajar menuduh Jakim melewatkannya sedangkan syarat itu tidak dipenuhi biarpun permohonannya sudah disantuni dengan baik,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg