Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin DAP dipanggil beri keterangan isu kontroversi sijil halal M’sia

Sep 9, 2024 | 12:36 PM
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain (kiri), dan Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) merangkap Ahli Parlimen Seputeh, Cik Teresa Kok.
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain (kiri), dan Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) merangkap Ahli Parlimen Seputeh, Cik Teresa Kok. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil keterangan Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Cik Teresa Kok, pada 10 September, berhubung siasatan isu kontroversi berkait pensijilan halal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) terhadap Ahli Parlimen (AP) Seputeh itu, yang menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia susulan lima laporan diterima PDRM setakat ini.

“SOP siasatan 3R akan dijalankan setelah laporan polis diterima dan semua saksi termasuk AP Seputeh itu dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Tan Sri Razarudin menegaskan walaupun kebebasan memberi pendapat dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan, ia masih mempunyai batasan.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang boleh mencetus kegusaran awam dan mengapi-apikan antara kaum.

“Kenyataan bersifat sedemikian adalah kesalahan yang termaktub dalam Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam,” katanya.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam maklum balasnya berkata kenyataan Cik Kok dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, kenyataan AP itu antara lain mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di Malaysia dan menasihati mana-mana pemimpin politik agar mengemukakan sebarang cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.

“Tak payah jadi begini kerana menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita. Ada masalah... peraturan perlu supaya umat Islam tidak rasa waswas.

“Namun kalau dia (Teresa) rasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu, bincanglah secara elok,” katanya.

Isu itu dibangkitkan Cik Kok selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, pada 5 September lalu berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Susulan itu, Cik Kok mendakwa kewajipan mendapatkan sijil halal untuk pengusaha restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol akan membebankan peniaga dan memalukan negara.

Menurutnya, pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk membabitkan pengusaha restoran Melayu dan mendakwa langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Kenyataan Cik Kok itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan, pembangkang dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg