Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan setuju laksana pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa raya

Usul bertujuan perkukuh tadbir urus, tingkat keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan M’sia
Sep 11, 2025 | 1:40 PM
Kerajaan M’sia, pemisahan kuasa, Peguam Negara, Pendakwa raya 
Pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjadi antara reformasi institusi penting dan paling dinantikan untuk dilaksanakan kerajaan Malaysia. - Foto JABATAN PEGUAM NEGARA

Kerajaan Malaysia telah bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya secara sepenuhnya, sebagai langkah reformasi institusi perundangan negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, telah membentangkan model pengasingan kuasa itu kepada Jemaah Menteri.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dalam satu kenyataan berkata pelaksanaan itu akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.

“Keputusan ini (pengasingan kuasa) diambil selepas meneliti Laporan Akhir dan Hala Tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparitif yang dipengerusikan oleh Datuk Azalina.

“Setelah pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata BHEUU JPM dalam satu kenyataan pada 10 September. 

Menurut kenyataan itu lagi, selain itu satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan. 

“Pada masa sama, satu akta baru khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45),” kata kenyataan itu. 

Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa pelaksanaan itu dibuat secara bertahap, dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada. 

“Justeru itu, Pasukan Petugas khas Teknikal yang diterajui oleh BHEUU JPM bersama Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan meneruskan peranan selanjutnya untuk memperinci semua aspek pelaksanaan termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan. 

“Syor lengkap hasil perincian ini akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan supaya pindaan yang diperlukan dapat dilaksanakan dan pelaksanaan pengasingan dapat dijalankan dengan sewajarnya, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada,” katanya.

Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah antara reformasi institusi dan tadbir urus yang diusahakan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan Malaysia.

Ketika ini di Malaysia, Peguam Negara yang juga penasihat undang-undang utama kerajaan turut memainkan peranan sebagai Pendakwa Raya yang berkuasa memulakan, menjalankan atau menghentikan apa-apa prosiding jenayah, terutama bagi kes berprofil tinggi atau membabitkan negara.

Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan pandangan pelbagai pihak yang menyifatkan pelaksanaan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya itu mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan jenayah Malaysia dan berupaya mengurangkan potensi konflik kepentingan

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab, berkata ia akan memperkukuh kedaulatan undang-undang dan memastikan proses pendakwaan dilaksanakan secara bebas daripada pengaruh Badan Eksekutif.

Langkah itu, katanya, memberi jaminan kepada rakyat bahawa kes berprofil tinggi akan diputuskan berdasarkan bukti dan undang-undang, bukan pertimbangan luar.

Peguam kanan yang juga peguam Malaysia pertama diterima masuk ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Datuk N Sivananthan, berkata bagi kesan jangka panjang pendakwaan akan menjadi lebih berkesan dan dibarisi dengan pegawai yang lebih cekap dengan sistem perundangan jenayah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg