Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Asean mesti bersatu hadapi cabaran tarif, sekatan eksport

Jul 9, 2025 | 3:49 PM
Malaysia, Asean, Anwar Ibrahim, tarif
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berucap merasmikan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur, pada 9 Julai. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan tarif, sekatan eksport dan halangan pelaburan kini menjadi senjata ‘tajam’ dalam persaingan geopolitik yang mesti dihadapi Asean.

Datuk Anwar berkata senario itu menunjukkan realiti bahawa kuasa kini bukan lagi alat untuk membentuk perdagangan dan menjana pertumbuhan, sebaliknya sudah berubah tumpuan dan memberi tekanan, pengasingan serta mengenakan sekatan.

Menurutnya, keadaan itu bukan sesuatu yang sementara, tetapi satu landskap baru yang perlu dihadapi dunia.

“Asean mesti menghadapi realiti ini dengan jelas dan yakin. Kita mesti menilai landskap secara objektif, bercakap dengan kesepaduan dan bertindak dengan pandangan yang jauh.

“Kekuatan kesepaduan kita tidak boleh terhenti pada kenyataan bersama semata-mata. Ia mesti diterapkan dalam institusi, strategi dan keputusan ekonomi kita,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur, pada 9 Julai.

Kenyataan Datuk Anwar itu dibuat sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan tarif 25 peratus ke atas barangan Malaysia yang dieksport ke negara itu bermula 1 Ogos, dengan alasan ketidakseimbangan perdagangan.

Dalam sepucuk surat kepada Datuk Anwar, Encik Trump memberi amaran sebarang tindak balas tarif terhadap barangan Amerika akan mencetuskan kenaikan tarif tambahan sebanyak 25 peratus.

Datuk Anwar juga berkata beliau akan membangkitkan isu berkenaan tarif import 25 peratus tersebut dalam pertemuannya dengan Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, pada 10 Julai.

Ini kerana menurut Datuk Anwar tindakan Amerika mengenakan tarif secara sepihak akan memberi kesan negatif kepada Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Encik Rubio yang dijadual berada di Malaysia pada 10 hingga 11 Julai untuk menghadiri Mesyuarat Pasca-Persidangan Menteri-Menteri Luar Asean-Amerika dijangka turut melakukan kunjungan hormat terhadap Datuk Anwar.

Sebelum ini banyak pihak terutama pemain industri yang terlibat dalam eksport ke Amerika menyuarakan kebimbangan kesan besar yang bakal dihadapi menyusuli pelaksanaan tarif 25 peratus itu.

Antaranya Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng, yang berkata tindakan tarif itu merupakan ancaman besar kepada daya saing perdagangan dan sektor perindustrian negara, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana berorientasikan eksport yang menjadi tulang belakang ekosistem pembuatan Malaysia.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menegaskan Malaysia tidak akan bertolak ansur terutama berkaitan kepentingan nasional dan kedaulatan negara dalam mengadakan rundingan dengan Amerika berhubung tarif import 25 peratus itu.

Tengku Zafrul berkata terdapat beberapa ‘garis merah’ yang pihaknya tidak berkrompomi dalam rundingan itu.

“Asean mesti menghadapi realiti ini dengan jelas dan yakin. Kita mesti menilai landskap secara objektif, bercakap dengan kesepaduan dan bertindak dengan pandangan yang jauh.”
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg