Sekumpulan Ahli Parlimen (AP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan mengenai kontroversi pelantikan Ketua Hakim Malaysia, selain memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipanggil Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi menjelaskan isu itu.
AP Pandan yang juga mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata gesaan itu didorong kebimbangan melihat kemelut institusi kehakiman sekarang mirip kepada skandal video peguam VK Lingam, pada 2007, iaitu cubaan mempengaruhi lantikan hakim dan keputusan kes mahkamah.
Datuk Rafizi yang juga mantan Timbalan Presiden PKR, berkata kontroversi berhubung institusi kehakiman masih belum ada jawapan atau hala tuju yang memuaskan daripada Datuk Anwar setakat ini.
Justeru, Datuk Rafizi berkata AP kerajaan bertanggungjawab mempertahankan kebebasan institusi kehakiman dan pengasingan kuasa di antara tiga cabang kerajaan iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman.
“Apatah lagi, mempertahankan kebebasan institusi kehakiman adalah salah satu tonggak utama perjuangan PKR dan Pakatan Harapan (PH).
“Kontroversi yang pada mulanya berkisar mengenai kekosongan jawatan-jawatan utama institusi kehakiman kini menjadi kemelut apabila lebih banyak maklumat sampai kepada pengetahuan awam.
“Maklumat ini akan terus mengundang pelbagai spekulasi yang boleh mencemarkan kredibiliti kerajaan dan melunturkan keyakinan rakyat kepada kebebasan institusi kehakiman pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di Subang Jaya, Selangor, pada 7 Julai.
Lapan AP PKR yang bersama Datuk Rafizi dalam membuat gesaan itu ialah Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa); Encik Wong Chen (Subang); Cik Rodziah Ismail (Ampang); Encik Zahir Hassan (Wangsa Maju), Encik Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang); Encik S Kesavan (Sungai Siput) dan Encik Onn Abu Bakar (Batu Pahat).
Menjelaskan lanjut Datuk Rafizi berkata kemelut mengenai pelantikan hakim baru dan pencalonan yang telah dihantar Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada kerajaan tidak diambil tindakan pada kadar sewajarnya, menyebabkan kekosongan menjadi mendesak.
“Pencalonan bagi kekosongan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah pun diputuskan JAC sebelum persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan dikemukakan kepada Datuk Anwar sebelum ini, tetapi pelantikan tidak dibuat sehingga menyebabkan kekosongan yang ada sekarang,” katanya.
Jawatan Ketua Hakim Malaysia kosong selepas Tun Tengku Maimun yang memegang jawatan itu selama enam tahun bersara wajib pada 2 Julai.
Menyusuli itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, menjalankan kuasa dan tugas Ketua Hakim Malaysia sehingga jawatan itu diisi.
Datuk Rafizi turut membangkitkan isu mesyuarat tergempar JAC yang didakwa tidak mematuhi syarat notis 10 hari dan sehubungan itu, laporan polis telah dibuat seorang pegawai Hakim Mahkamah Persekutuan.
Beliau menegaskan kejadian itu membawa persamaan dengan skandal video VK Lingam, bagi mengatur pelantikan hakim-hakim di Malaysia pada 2002, sebelum video perbualan itu bocor pada 2007.
“Seperti mana PKR menuntut dan menyokong sebuah siasatan oleh RCI semasa skandal VK Lingam dulu, kami mencadangkan agar RCI juga ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan yang berlegar ini,” katanya.
Datuk Rafizi berkata pihaknya akan memohon secara rasmi supaya satu siasatan dijalankan oleh JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, termasuk memanggil Datuk Anwar untuk memberi keterangan kerana mengikut Perlembagaan, soal lantikan Ketua Hakim Negara adalah di bawah Perdana Menteri.
“Di peringkat Parlimen, saya ingat Datuk Anwar tiada apa yang mahu disembunyikan dan saya harap kalau JKPK memanggil untuk jelaskan situasi sebenar, beliau boleh hadir,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg