Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki JB dalam kes pandu secara bahaya didenda lagi kerana ugut jurugambar media

Jun 27, 2025 | 10:14 AM
Muhammad Firdaus Abdullah, 50 tahun, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 26 Jun, selepas mengaku salah mengugut petugas media.
Muhammad Firdaus Abdullah, 50 tahun, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 26 Jun, selepas mengaku salah mengugut petugas media. - Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Sehari selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan khianat dan memandu secara berbahaya, seorang bapa tujuh anak sekali lagi dihadapkan ke mahkamah, atas tuduhan mengugut media yang membuat liputan kes itu.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Abdullah, 50 tahun, mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 26 Jun dan didenda RM3,000 ($902).

Mengikut tuduhan, Muhammad Firdaus yang juga penganggur didakwa menakutkan secara jenayah dengan mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap jurukamera TV3 dengan niat menyebabkan ketakutan.

Perbuatan itu didakwa berlaku di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada 9 pagi 25 Jun, sebelum prosiding mahkamah berkaitan kes langgar kereta selesai, lapor Harian Metro.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh berikutan pengadu hanya menjalankan tugas sebagai jurukamera dan ugutan itu bersifat mengancam keselamatan jurukamera TV3.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dikurangkan berikutan tidak bekerja, menanggung tujuh anak dan seorang isteri.

Mahkamah bagaimanapun menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 dan sekiranya gagal membayar denda itu, tertuduh berdepan hukuman penjara selama empat bulan.

Sebelum ini, beberapa pengamal media membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada 25 Jun selepas diugut ketika membuat liputan di mahkamah pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Raub Selamat memaklumkan suspek ditahan pada pagi 26 Jun, di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Dalam kejadian 9 pagi 25 Jun, suspek dilaporkan mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan kepada jurukamera TV3, jurugambar Berita Harian Malaysia dan wartawan dari akhbar Oriental Daily.

Pada 25 Jun, Muhammad Firdaus dilaporkan didenda RM13,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, atas dua tuduhan melakukan khianat dengan melanggar sebuah Perodua Axia dan memandu kenderaan sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna lain di Jalan Tun Razak, pada 22 Jun lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg