Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan kekasih lari dikejar polis di Johor bagai filem aksi

May 8, 2025 | 2:00 PM
Tangkap layar video tular aksi suspek melarikan diri dengan menaiki Proton Wira dikejar MPV Polis.
Tangkap layar video tular aksi suspek melarikan diri dengan menaiki Proton Wira dikejar MPV Polis. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO TULAR

JOHOR BAHRU: Pasangan kekasih yang berada di bawah pengaruh dadah nekad melarikan diri daripada pihak polis dengan memandu kereta Proton Wira melawan arus di Lebuh Raya Pasir Gudang pada awal pagi 7 Mei.

Bagaimanapun, hasrat suspek untuk meloloskan diri tidak kesampaian apabila mereka akhirnya berjaya ditahan di Jalan Pesisiran Tanjung Langsat, di sini selepas dikejar sejauh 96 kilometer, kira-kira satu jam 22 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Raub Selamat, berkata sebanyak 14 unit peronda (MPV) termasuk unit daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam turut sama membantu menahan suspek.

Beliau berkata kejadian itu bermula pada 1.40 pagi semasa anggota MPV polis dalam tugas rondaan pencegahan jenayah telah mengesan sebuah kereta Proton Wira berwarna biru yang dalam keadaan mencurigakan.

“Kereta dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun bersama wanita tempatan berusia 34 tahun itu bergerak melawan arus di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke arah Perling dan enggan berhenti walaupun telah diarahkan oleh anggota MPV bertugas.

“Kenderaan suspek telah memecut laju dan memandu secara zig-zag memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sebelum berpatah balik ke Lebuh Raya Pasir Gudang menghala ke arah Pasir Gudang,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Kosmo!.

Menurut Encik Raub, suspek kemudiannya melarikan diri dengan memasuki beberapa laluan termasuk Lebuh Raya Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL) sebelum suspek berjaya ditahan di Jalan Pesiaran Tanjung Langsat, Jalan Nibong, setelah dikejar sejauh 96 kilometer.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang baru lepas menghisap dadah itu membuat keputusan melarikan diri kerana mengetahui mereka adalah dalam senarai orang dikehendaki selain tidak mempunyai lesen kereta.

Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemukan dadah disyaki jenis syabu seberat 0.45 gram. Semakan lanjut juga menunjukkan mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah. Pemandu turut tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg