Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerja baik pulih Jalan Datin Halimah, Johor Bahru capai 80%

Jul 15, 2025 | 1:30 PM
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh (tengah), mengadakan lawatan ke Jalan Datin Halimah, Johor Bahru, pada 15 Julai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh (tengah), mengadakan lawatan ke Jalan Datin Halimah, Johor Bahru, pada 15 Julai. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

Kerja pembaikan dan penambahbaikan prasarana di sepanjang Jalan Datin Halimah, salah satu laluan utama Greater Johor Bahru, kini hampir siap dengan kemajuan kira-kira 70 hingga 80 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kebanyakan kerosakan seperti permukaan jalan, penutup longkang, kerja mengecat serta pembaikan longkang telah diselesaikan.

“Namun, masih ada kerja tertunggak seperti sistem saliran tersumbat, longkang bawah tanah yang dipenuhi pasir, serta cat lintasan pejalan kaki dan garisan jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada 15 Julai.

Menurutnya, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) juga telah menyumbang kepada penambahbaikan dengan membaiki bumbung jejantas pejalan kaki serta menjalankan kerja pembersihan rutin.

“Isu lain seperti lampu jalan, pagar keselamatan dan kemudahan tempat menunggu bas turut akan ditambah baik dalam masa terdekat,” katanya.

Tambahnya, kerja pembaikan bermula pada 16 Jun 2025 dengan peruntukan RM5 juta ($1.5 juta) yang melibatkan pembaikan longkang, pemotongan rumput, penyelenggaraan jalan dan kemudahan awam lain termasuk hentian bas dan jejantas.

“Komitmen Kerajaan Johor adalah jelas – kita mahu infrastruktur jalan yang lebih cekap, selamat dan tersusun demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Encik Mohamad Fazli memaklumkan projek pelebaran dan penambahbaikan infrastruktur di sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang juga sedang giat dilaksanakan, dengan kerja membaiki dan memasang semula lampu jalan menjadi antara komponen penting dalam memastikan keselamatan pengguna.

“Lebuh raya ini unik – walaupun merupakan jalan persekutuan sepanjang 29.5 kilometer, ia dilengkapi dengan sistem lampu jalan yang diselenggara pelbagai pihak, termasuk JKR (Jabatan Kerja Raya), MBJB dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG),” katanya.

Menurutnya, dari Stesen BHP Perling ke Jambatan Perling, sebanyak 80 unit lampu di bawah penyelenggaraan JKR telah siap dibaiki.

Sementara itu, dari Jambatan Perling ke Taman Rinting – laluan di bawah MBJB – masih terdapat 94 unit lampu yang tidak menyala dan dijangka akan dibaiki sepenuhnya sebelum 15 September 2025.

Di dalam kawasan projek yang melibatkan jajaran dari Taman Rinting hingga ke Persimpangan MMHE, sebanyak 150 unit lampu telah dinyalakan secara sementara. Manakala 22 unit lagi sedang dibaiki.

“Menurut kontrak projek, sebanyak 266 tiang lampu baru jenis bekalan langsung akan dipasang. Ini adalah sebahagian daripada usaha memastikan pencahayaan jalan di kawasan ini ditingkatkan demi keselamatan pengguna,” ujarnya.

Encik Mohamad Fazli turut memberi jaminan bahawa pihaknya bersama pasukan projek dan kontraktor sedang berusaha gigih bagi memastikan beberapa lokasi sepanjang lebuh raya itu dapat dibuka secara berperingkat dalam masa terdekat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg