Projek pembinaan laluan tanjakan (ramp) dari Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) ke Jalan Persekutuan FT092 di Bandar Penawar yang bernilai RM86.7 juta ($26.1 juta) dijangka siap sepenuhnya menjelang 16 Ogos 2026, selepas mengalami kelewatan berikutan isu teknikal di tapak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata projek tersebut pada asalnya dijadualkan siap pada 27 Ogos 2025 namun mengalami gangguan disebabkan keperluan untuk mengalihkan dan meninggikan tiga menara pencawang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Tanjakan ini dibina setinggi 10 meter dari aras tanah, dan tiga menara TNB sedia ada terletak dalam laluan pembinaan.
“Proses pengalihan dan peninggian menara ini memerlukan rundingan kos dan pelaksanaan teknikal yang rumit, mengambil masa hampir satu tahun setengah untuk diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada 3 Julai.
Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Johor untuk menangani kesesakan yang sering berlaku di persimpangan antara Lebuhraya SDE (E22) dan Jalan Kota Tinggi–Pengerang FT092, termasuk di kawasan Tol Penawar.
Tambahnya, tanjakan tersebut akan membolehkan kenderaan berat seperti lori kontena bergerak terus ke Pengerang tanpa perlu berhenti di lampu isyarat, sekali gus meningkatkan kelancaran aliran trafik dan tahap keselamatan jalan raya.
Menurut Encik Mohamad Fazli, setakat lawatan terkininya, kemajuan fizikal projek telah mencapai 45 peratus berbanding 45.2 peratus mengikut jadual asal, menunjukkan kelewatan kecil sebanyak 0.2 peratus.
Namun begitu, masih terdapat isu berkaitan kerja-kerja paip oleh syarikat Ranhill SAJ (RSAJ) khususnya melibatkan ujian klorin ke atas tiga saiz paip iaitu 200mm, 400mm dan 450mm.
“Saya yakin dengan kerjasama erat semua pihak terbabit, projek ini akan dapat disiapkan mengikut jadual baru atau lebih awal daripada itu,” katanya.
Projek itu dilihat sebagai antara komponen penting dalam memperkukuhkan jaringan prasarana di kawasan Pengerang yang menjadi tumpuan utama pembangunan berasaskan tenaga dan logistik di negeri Johor.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg