Kerajaan Johor sedang memperhalusi pelbagai maklum balas orang ramai berhubung pengalaman menaiki bas awam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor, dalam usaha memastikan perkhidmatan yang lebih lancar dan tersusun terutama pada waktu sibuk.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pihaknya bersama Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dan syarikat pengendali bas Handal Indah kini menjalankan kajian menyeluruh berdasarkan waktu bagi mengenal pasti tempoh sebenar menunggu bas mengikut jam.
“Kita dapati setiap penumpang beri maklum balas berbeza-beza mengikut waktu mereka ditemu bual. Contohnya, pada 4.30 pagi ada yang kata perkhidmatan sangat pantas. Tetapi pada 6 pagi pula ada yang kata lambat, dan 7 pagi kembali lancar.
“Sebab itu kita sedang bangunkan satu jadual tetap berdasarkan tinjauan setiap 30 minit, bermula 4 pagi hingga 6 pagi, untuk mendapatkan data lebih tepat dan konsisten,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurutnya, hasil pemerhatian awal mendapati sistem imigresen sedia ada sudah menunjukkan penambahbaikan ketara, apabila penumpang hanya mengambil masa antara lima dengan 25 minit untuk sampai ke ruang menunggu bas, berbanding sebelum ini yang boleh mencecah antara 40 minit hingga sejam.
Mengulas cadangan memulakan perkhidmatan bas rentas Tambak seawal 4 pagi, Encik Mohamad Fazli, berkata perkara itu sedang dibincangkan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan operator bas.
“PAJ sudah berbincang dengan pengendali bas, dan saya sendiri telah menghubungi Kedutaan Malaysia di Singapura.
“LTA minta Apad sediakan maklumat berapa ramai yang benar-benar guna perkhidmatan bas seawal 4 pagi kerana ia melibatkan soal operasi dan kos,” katanya.
Menurutnya, Apad kini mengumpul maklumat itu dan ia akan dibentangkan dalam masa terdekat bagi mempertimbangkan keperluan perkhidmatan tambahan tersebut.
Dalam tinjauan ke CIQ BSI pada pagi 7 Julai, Encik Mohamad Fazli, turut memaklumkan bahawa keadaan pada Isnin lebih sesak berbanding hari biasa kerana ia merupakan minggu pertama Julai.
“Pasukan kami sentiasa memantau bilangan bas dan ‘trip’ supaya mencukupi untuk menyuraikan jumlah penumpang yang ramai,” katanya sambil menggesa pengguna agar berdisiplin dan tidak memotong barisan serta tidak menghalang aliran penumpang lain.
Beliau turut berkongsi pengamatannya bahawa ada penumpang yang enggan memasuki bas jika tempat duduk sudah penuh, walaupun masih ada ruang untuk berdiri, lalu menghalang mereka yang sedia berdiri untuk masuk.
“Ada cadangan supaya pada waktu sibuk, barisan khas untuk penumpang duduk dan berdiri tidak perlu diwujudkan. Ini akan melancarkan pergerakan masuk dan keluar dalam bas,” katanya.
Kerajaan negeri ujarnya, sedang meneliti semua pandangan demi memperbaiki mutu pengangkutan awam rentas sempadan dan memastikan keselesaan pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan bas di CIQ BSI setiap hari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg