Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama BN-PH pada pilihan raya Sabah untuk bentuk kerajaan baru

Oct 22, 2024 | 11:35 AM
Datuk Seri Bung Moktar Radin
Datuk Seri Bung Moktar Radin - Foto fail

KUALA LUMPUR: Keputusan Umno bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang bagi mewujudkan kerajaan baru yang mampu mengeluarkan Sabah daripada terus menjadi antara negeri termundur di Malaysia.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata langkah itu diambil berdasarkan keperluan mencapai kesefahaman pada peringkat Persekutuan dan negeri dalam usaha membangunkan Sabah.

Beliau berkata Sabah masih dibelenggu kemiskinan yang berlarutan sekian lama, dengan lapan daerah termiskin termasuk Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau, dan Lahad Datu.

“Pada pandangan saya, penting bagi Sabah melaksanakan transformasi baru yang benar-benar dapat mengubah status negeri ini daripada kemunduran.

“PRN akan datang pasti menarik, di sinilah kita mungkin melihat pembentukan kerajaan baru yang fokus mengeluarkan Sabah daripada kemelut kemiskinan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Bung Moktar berkata perbincangan bagi membentuk dan memperkukuh kerjasama antara BN dengan PH sentiasa diadakan pada peringkat pucuk pimpinan parti untuk memastikan persiapan awal menghadapi PRN dapat digerakkan bersama.

“Langkah ini bertujuan memastikan Sabah mendapat kerajaan yang kukuh dan mampu mendukung aspirasi rakyat dalam usaha membangunkan negeri,” katanya.

Pada September lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan Umno memutuskan untuk bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah dan menyatakan BN Sabah bersetuju mengikuti formula kerjasama diamalkan pada peringkat Persekutuan dan memperluaskannya ke negeri di bawah bayu itu.

Namun, Datuk Bung Moktar menegaskan Umno dan BN Sabah tetap terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Mengulas desas-desus terdapat individu lain cuba ‘mencantas’ kedudukannya dalam menerajui Umno dan BN Sabah, beliau yang juga Ahli Parlimen (AP) Kinabatangan, menyifatkan perkara itu sebagai lumrah dalam dunia politik.

“Sudah tentu ada banyak cubaan untuk menggulingkan saya, tetapi saya percaya kita perlu fokus pada kerja dengan baik. Misi saya untuk memperkukuh parti, jika Umno Sabah kuat, pasti ramai pihak lain yang ingin bekerjasama, tetapi jika lemah, siapa yang akan berminat,” katanya.

PRN17 Sabah dijangka diadakan 2025 sejajar tarikh tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang yang bakal berakhir pada Oktober 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg