Daripada dua blok politik yang bersaing untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu dan menjadi seteru, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kini semakin terbuka untuk meneroka ruang kerjasama.

Pada Muktamar Tahunan Parti Islam SeMalaysia (PAS) ke-72 yang berakhir pada 5 September lalu, parti itu menyatakan kesediaan untuk meneroka kerjasama politik dengan Umno/BN menerusi agenda penyatuan ummah.

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang menutup tirai seminggu selepas itu pula, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tanpa berselindung lagi menyambut agenda penyatuan ummah dengan PN, yang kini dipimpin secara de facto oleh PAS, sambil menegaskan ia tidak hanya terhad dalam kerangka kerjasama politik.

Kepimpinan PN kini ditaburi kepimpinan PAS, termasuk pengerusinya, iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Malah, dalam kededua perhimpunan dan muktamar, pemimpin kededua gabungan tanpa kekok saling berbalas kehadiran, sekali gus menguatkan lagi bayangan kerjasama politik yang akan terbentuk secara lebih serius menjelang PRU16.

Matlamat BN/PN untuk meneroka kerjasama ini tentunya bagi mengelak pecah undi Melayu, menggabung kekuatan jentera untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH), sekali gus merintis laluan untuk kembali menguasai Putrajaya.

Kerjasama politik disifatkan penganalisis sebagai satu norma baru dalam landskap politik Malaysia selepas era kejatuhan Umno/BN sejak Pilihan Raya Umum pada 2018, sebagai parti yang mendominasi pentadbiran negara selama lebih 60 tahun.

Penganalisis politik merangkap Zamil Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Azmi Hassan, melihat potensi kerjasama Umno/BN dengan PN, sebagai lebih jelas selepas PAU dan Muktamar Tahunan PAS.

“Saya lihat untuk PRU16 ini, kerjasama antara Umno dengan PAS akan dimeterai lebih muktamad, sekali gus menyaksikan pertembungan utama dengan gabungan PH yang mungkin akan bekerjasama dengan Bersatu,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Walaupun BN adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan bersama PH, majoriti pemimpin dan akar umbi parti itu lebih cenderung untuk kerjasama politik dibentuk dengan PN terutama penerajunya, PAS, atas faktor penolakan kuat terhadap Parti Tindakan Demokratik (DAP) – salah satu komponen PH.

Kedua-dua blok mempunyai sebab strategik untuk mencari titik temu.

BN mempunyai jentera dan pengalaman pentadbiran, manakala PAS mempunyai jaringan akar umbi serta pengaruh yang kukuh dalam kalangan pengundi Melayu/Islam, terutama di negeri yang dikuasainya.

Kejayaan persefahaman yang dibentuk BN/PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila berjaya menumbangkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu, juga menjadi faktor untuk ruang kerjasama BN/PN diperkukuhkan bagi PRN Melaka dan PRU16.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, melihat kerjasama atau gabungan BN/PN berpotensi kuat, jika dapat mengelakkan pertembungan sesama sendiri di kerusi ditandingi dan menyatukan undi Melayu.

“Tetapi belum ada mana-mana blok yang boleh dianggap pasti menang bergaya dalam PRU16.

“Bagi saya kemenangan bergantung pada formula pakatan, calon dan kemampuan menguasai pengundi Melayu serta pengundi bandar,” jelasnya.

Dr Mohammad Tawfik berpandangan halangan terbesar yang boleh mengganggu kerjasama BN/PN ialah isu pembahagian kerusi, selain perebutan kepimpinan, perbezaan ideologi dan penolakan akar umbi.

“Kita lihat dalam konteks BN/PN isu besar yang muncul ialah siapa menerajui agenda Melayu/Islam dan siapa mendapat kerusi boleh menang,” katanya.

Umno/BN dan PAS/PN adalah blok politik yang mengumpulkan penyokong Melayu/Islam paling ramai.

Kededuanya bertegas akan mempertahankan kerusi dengan PN/PAS ketika ini mendominasi Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, sementara Umno/BN menerajui kawasan pantai barat seperti Perak, Pahang, Johor, dan Negeri Sembilan.

“Jadi bagi saya, rundingan dua gabungan itu harus bertumpu kepada negeri-negeri yang masih terbuka seperti Selangor dan Pulau Pinang,” kata Profesor Dr Azmi.

Meneliti prospek jajaran baharu itu, Profesor Kehormat (Sains Politik), Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, pula membahagikan implikasi kerjasama Umno/PAS (atau BN/PN) kepada tiga fasa utama.

Ia merangkumi jangka pendek untuk formula kemenangan pantas dan paling mudah untuk memenangi PRN mahupun PRU16.

Jangka sederhana pula meliputi usaha mempertahankan kerajaan pascapilihan raya, sementara jangka panjang dibimbangi menyaksikan perebutan pengaruh di lapangan yang dijangka mencetuskan pergeseran yang boleh menggugat kestabilan pakatan.

Beliau turut menarik perhatian terhadap beberapa kelemahan dua parti itu yang dijangka memberi kesan dalam menarik pengundi untuk menghasilkan penguasaan dominan pada PRU16 nanti.

Umno/BN ketika ini katanya bukan saja terpalit dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan Tabung Haji yang mengejutkan masyarakat Melayu/Islam, malah, tersepit dengan krisis Adat dan Raja di Negeri Sembilan.

“Tindakan mereka dalam isu krisis Adat dan Raja di Negeri menunjukkan seolah-olah mereka (Umno) mengawal segala-galanya dan mereka tidak menangani masalah itu dengan baik.

“PN pula dengan kes penggantungannya dan risiko gabungan itu dikuburkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana masalah dalaman dengan Bersatu,” katanya.

Namun, di sebalik itu beliau berkata pengundi Melayu berasa identiti dan kuasa politik mereka lebih terjamin di bawah gabungan yang diterajui oleh parti majoriti Melayu seperti BN/PN.

Justeru katanya tidak mustahil gabungan itu berpotensi menjadi pilihan utama pengundi pada PRU nanti jika mereka menjalin kerjasama.

Adakah faktor pengampunan bersyarat bekas Presiden Umno yang juga bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, memberi kesan positif kepada Umno/PN?

Profesor Ahmad Fauzi melihat ia ibarat pedang bermata dua kepada Umno.

“Kepada penyokong Umno ia mungkin dilihat sebagai satu kemenangan, tetapi Umno boleh kehilangan sokongan pengundi atas pagar,” katanya.