JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor komited untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Perbadanan Islam Johor (PIJ) serta anak-anak syarikatnya.

Inisiatif ini bertujuan memacu pembangunan ekonomi Islam dan industri halal, sekali gus memastikan penyampaian manfaat yang lebih berkesan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata perkara itu dibincangkan ketika lawatan pentadbiran ke PIJ dan anak syarikatnya, Insist Amilat, bersama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Anuar Abd Manap, pada 27 Julai.

Beliau berkata lawatan berkenaan memberi peluang kepada kerajaan negeri itu meneliti peranan serta pencapaian PIJ dalam memperkukuh agenda pembangunan ekonomi Islam di Johor.

“Lawatan ini memberi ruang untuk meneliti peranan serta pencapaian PIJ dalam memperkukuhkan pembangunan ekonomi Islam di negeri Johor,” katanya.

Dalam lawatan itu, Pengurus Besar PIJ, Datin Paduka Shubanah Yusuf, turut menyampaikan taklimat mengenai perkembangan perbadanan berkenaan.

Menurut Encik Mohd Fared, PIJ yang dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Johor sejak penubuhannya pada 1976, dijenamakan semula sebagai Perbadanan Islam Johor pada 2004 sejajar dengan peranan yang semakin luas dalam memacu pembangunan ummah.

Beliau berkata PIJ kini mempunyai tiga anak syarikat utama iaitu PIJ Holdings, Tabung Wakaf Rakyat Johor dan Insist Amilat Sdn Bhd.

Katanya, PIJ Holdings terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh industri halal negeri itu menerusi pelbagai inisiatif pembangunan usahawan.

“Bantuan pembangunan halal telah disalurkan kepada usahawan termasuk pengusaha kantin sekolah, di samping pelaksanaan Kursus Eksekutif Halal bersubsidi bagi melahirkan tenaga kerja mahir.

“Usaha ini akan diperluaskan dengan memberi fokus kepada Kursus Auditor Halal pula,” katanya.

Encik Mohd Fared berkata beliau turut dimaklumkan mengenai peranan Insist Amilat yang ditubuhkan pada 1997, dengan tumpuan kepada sektor takaful, pusat dialisis, pengurusan harta dan zakat.

Beliau berkata prestasi syarikat yang lebih baik akan membolehkan lebih banyak manfaat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Semakin baik prestasi syarikat, semakin besar manfaat yang dapat disalurkan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Encik Anuar berkata kerajaan negeri itu akan terus memperkukuh sinergi dengan agensi agama serta syarikat berkaitan bagi memastikan lebih banyak program dan manfaat dapat dinikmati rakyat Johor.

Beliau berkata kerjasama yang erat antara kepimpinan portfolio Hal Ehwal Agama Islam akan menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan ekonomi Islam serta meningkatkan kesejahteraan ummah di negeri itu.