BALING (Kedah): “Agak mustahil keropok yang dicampur racun itu dan digantung pada ketinggian lebih 1.2 meter dan diikat dengan ketat menggunakan tali tangsi itu mampu dicapai kanak-kanak kecil.
“Bagi saya, sama ada ia diambil orang yang lebih besar atau dijatuhkan oleh kera liar sebelum diambil dua kanak-kanak itu dan makan,” kata seorang pekebun yang dikenali sebagai Am, 35 tahun.
Pekebun itu mendakwa, beliau dimaklumkan adik lelakinya yang berusia 34 tahun itu bahawa keropok yang bercampur racun itu juga tidak digantung pada pagar berdekatan jalan, sebaliknya diletakkan di kawasan laluan kera berdekatan hutan.
Dakwanya, tidak mungkin dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun itu dapat mengambil makanan ringan itu dengan mudah walaupun diikat pada pagar kebun.
“Hanya terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada orang dewasa mengambilnya atau kera ambil dan terjatuh di mana-mana.
“Adik juga beritahu dia meletakkan kira-kira lima bungkusan makanan ringan dicampur racun tikus pada pagar kebun dan tiga bungkusan dipercayai sudah diambil kera manakala satu hilang dan satu lagi masih berada di situ,” katanya ditemui di Kampung Banggol Berangan, di sini pada malam 10 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau yang juga ahli keluarga kepada dua kanak-kanak itu turut hadir pada majlis pengebumian kanak-kanak, Muhammad Akil Syauqi, 3 tahun, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, pada malam 10 Julai.
Am mendakwa, beliau juga adalah individu yang membawa arwah Muhammad Akil dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2 tahun, ke Klinik Kesihatan Malau untuk mendapatkan bantuan rawatan segera pada hari kejadian.
“Ibu arwah yang berlari meminta tolong dan saya bersama ibu turut membantu sedaya upaya kami. Kami mendoakan yang terbaik buat ibu arwah,” katanya.
Sementara itu, dakwanya, racun tikus dari China dan tidak berdaftar itu turut digunakan beberapa pekebun lain di kawasan itu.
Sudah menjadi amalan biasa yang mana racun tidak berdaftar ini ada dijual di kedai-kedai di sekitar Kulim malah turut dijual secara dalam talian.
“Racun ini murah yang mana ia dijual pada harga RM3 ($0.86) sepaket.
“Memang biasanya guna makanan ringan jenis itu kerana warna bungkusan yang menarik selain warna keropok yang terang dan monyet akan menjilatnya apabila terkena pada bahagian jari.
“Kami tak guna buah sebab bimbang lembu yang kami ternak menjilat atau makan buah itu,” dakwanya.
Katanya lagi, adik lelakinya yang juga seorang pekebun dan membela lembu itu ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut.
Seorang lelaki dilaporkan direman enam hari bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus, di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.
Kejadian pada 8 Julai itu menyebabkan seorang mangsa yang berusia tiga tahun meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas tiga hari bertarung nyawa.
Adiknya, Muhammad Luth, dilaporkan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg