Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keropok beracun di Kedah: Si abang meninggal dunia, adik masih kritikal

Jul 10, 2024 | 12:52 PM
Muhammad Akil Syauqi, tiga tahun, meninggal dunia pada 10 Julai selepas termakan keropok yang mengandungi racun tikus.
Muhammad Akil Syauqi, tiga tahun, meninggal dunia pada 10 Julai selepas termakan keropok yang mengandungi racun tikus. - Foto IHSAN KELUARGA

KULIM (Kedah): Seorang daripada dua beradik yang termakan keropok beracun di sebuah kebun di Kulim, Kedah, telah meninggal dunia pada 8.30 pagi, 10 Julai.

Ibu mangsa, Cik Nurain Hasnorizal, 25 tahun, berkata anak sulungnya yang berusia tiga tahun, Muhammad Akil Syauqi, meninggal dunia ketika masih dalam rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Abang (Muhammad Akil) sudah tiada (meninggal dunia),” rintih Cik Nurain, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau berkata urusan bedah siasat akan dijalankan dan jenazah dijangka dibawa pulang ke Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kulim, untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd Khairi, mengesahkan kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir pada 8.30 pagi 10 Julai.

Beliau berkata adik mangsa yang turut terbabit dalam kejadian itu, Muhammad Luth Syauqi, dua tahun, masih dirawat di hospital yang sama.

Dalam kejadian pada 7 Julai, dua beradik lelaki itu kritikal selepas memakan makanan ringan berupa keropok dipercayai mengandungi racun tikus yang dipasang penduduk Kampung Padang Ubi.

Makanan ringan itu didakwa digantung pada pagar dawai yang dipasang pemilik kebun.

Ia dipercayai untuk tujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman.

Difahamkan, lokasi kejadian itu terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

Susulan kejadian tersebut, dua beradik terbabit dilaporkan mengalami muntah-muntah dan menggelupur seperti diserang sawan sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Dua beradik itu kemudian dirujuk ke HPP selepas keadaan mereka semakin genting.

Susulan kejadian itu, kes terbabit disiasat polis mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

Dengan kematian mangsa, polis dijangka mengklasifikasikan semula seksyen siasatan bagi kes berkenaan.

Sebelum ini, nenek mangsa, Cik Saadiah Yaacob, 62 tahun, kesal dengan apa yang berlaku kerana pemilik kebun berkenaan dikatakan menggantung makanan ringan mengandungi racun itu di tepi pagar berdawai di tempat yang rendah dan mampu dicapai dua cucunya.

Beliau tidak menyangka kegembiraan dua beradik itu mengikut datuk mereka, Encik Muhammad Nazar Abdullah, 53 tahun, ke kebun untuk melihat lembu di kawasan tersebut yang terletak tidak jauh dari rumah berakhir dengan tragedi.

Menurut beliau, tidak lama selepas itu, dua beradik terbabit kelihatan seronok membawa dua bungkusan makanan ringan yang diikat dengan tali ketika pulang ke rumah, sebelum memakannya dan mengalami keracunan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg