Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua maut daripada 82 mangsa keracunan makanan di sekolah agama di Selangor

Jun 12, 2024 | 2:35 PM
Seramai 82 orang mengalami keracunan makanan sehingga menyebabkan dua maut selepas makan bihun goreng dan telur mata lembu di sebuah program di sebuah sekolah agama di Gombak, Selangor.
Seramai 82 orang mengalami keracunan makanan sehingga menyebabkan dua maut selepas makan bihun goreng dan telur mata lembu di sebuah program di sebuah sekolah agama di Gombak, Selangor. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat kejadian keracunan makanan membabitkan 82 mangsa, termasuk dua orang yang maut selepas memakan bihun goreng dan telur mata lembu yang dibekalkan semasa sebuah program sekolah agama di Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata polis akan memanggil pengusaha katering, penganjur program dan guru sekolah di Gombak itu bagi membantu siasatan.

“(Kita) masih menunggu laporan makmal berkaitan jenis keracunan makanan yang dihadapi mangsa dan ketika ini kes disiasat sebagai mati mengejut.

“Kita akan panggil katerer, penganjur dan guru sekolah tersebut bagi membantu siasatan dalam masa terdekat. Setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengarahkan penutupan sementara kantin sekolah itu untuk siasatan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang bayi perempuan berusia 19 bulan maut akibat keracunan makanan selepas menikmati sarapan yang dibekalkan bagi Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin, berkata 82 daripada 247 orang yang terdedah mengalami gejala keracunan makanan selepas menikmati sarapan, dan keracunan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata lembu yang dikatakan sudah berubah rupa dan rasa.

Individu yang mengalami gejala itu terdiri daripada anggota urus setia, guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga yang berusia antara 18 bulan hingga 58 tahun.

Makanan itu dibekalkan oleh pengendali makanan dari luar.

Dr Ummi Kalthom berkata remaja yang maut itu, yang juga korban pertama, memakan makanan yang dibawa balik ibunya daripada program berkenaan. Beliau serta ibu dan bapanya mengalami cirit-birit selepas memakan makanan itu.

“Pada 1.30 tengah hari 9 Jun, mangsa, yang juga pelajar menengah lima, mula tidak sedarkan diri lalu bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Mangsa kedua adalah anak seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah berkenaan (yang juga membawa balik makanan daripada program tersebut dan memberi anaknya makanan itu).

“Pada 10.45 malam 9 Jun, mangsa mengalami demam, muntah-muntah dan cirit-birit lalu dibawa ke Hospital Selayang, Selangor, oleh ibunya, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Menurut Dr Ummi Kalthom, tindakan segera telah diambil untuk mengawal wabak keracunan makanan itu dan sampel makanan pada hari kejadian sudah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh, Selangor, untuk siasatan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg