Kerusi DUN Puteri Wangsa bukan milik mana-mana parti, AMK tegur Amanah
Kerusi DUN Puteri Wangsa bukan milik mana-mana parti, AMK tegur Amanah
JOHOR BAHRU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa tidak seharusnya dilihat sebagai mutlak atau milik kekal mana-mana parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Encik Faezuddin Puad, berkata soal pembahagian kerusi perlu ditentukan secara rasional dengan mengambil kira kekuatan jentera, gerak kerja di lapangan, serta kebolehan memenangi hati pengundi.
“Kita harus berhenti bernostalgia dan tumpu kepada realiti sebenar di lapangan. Dalam masa sama, kita perlu mengakui bahawa pengundi hari ini semakin bijak menilai.
“Mereka tahu membezakan antara pihak yang benar-benar konsisten berkhidmat dengan pihak yang hanya muncul apabila pilihan raya semakin hampir,” katanya dalam kenyataan pada 5 Mac.
Beliau berkata sekiranya perkara itu tidak diambil kira dengan serius dan diurus dengan cermat, bimbang akan berlaku penolakan terhadap calon atau parti yang dilihat sebagai payung terjun dan tidak berakar di kawasan.
Terdahulu Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain dilaporkan berkata pihaknya akan mengambil semula semula kerusi DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini dipinjamkan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Menurut beliau, tiada rundingan politik sedang atau akan diadakan antara dengan Amanah Johor dengan Muda, lapor MalaysiaGazette.
Ketua Amanah Kawasan Kluang itu berkata Amanah Johor menuntut semula kerusi itu susulan tindakan Muda yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada PRN Johor bagi DUN Puteri Wangsa, Muda menerusi Pemangku Presidennya, Cik Amira Aisya Abd Aziz menang dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Cik Amira Aisya yang ketika itu merupakan Setiausaha parti itu, menewaskan Encik Ng Yew Aik daripada Barisan Nasional (BN), Dr Khairil Anwar Razali (Parti Pejuang Tanah Air), Encik Loh Kah Yong (Perikatan Nasional), Encik Steven Choong Shiau Yoon (Parti Bangsa Malaysia) dan Encik Adzrin Adam (Bebas).
Muda ketika itu menang kerusi tersebut atas sokongan PH meskipun tidak menyertai gabungan politik berkenaan ketika itu, namun bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya (electoral pact) menghadapi PRN Johor.
Muda kemudian menyertai kerajaan Perpaduan sebelum mengumumkan keluar daripada kerajaan pimpinan PH pada 2023 sebagai tanda protes terhadap tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuahnya.

