Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerusi Ketua Pembangkang masih tergantung, PN ‘bergelut’ putus pengganti
Kerusi Ketua Pembangkang masih tergantung, PN ‘bergelut’ putus pengganti
Tindakan PAS lengah namakan calon timbulkan keraguan terhadap keupayaan parti ambil alih kepimpinan PN
Kerusi Ketua Pembangkang masih tergantung, PN ‘bergelut’ putus pengganti
Isu pelantikan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat yang masih berlarutan tanpa penyelesaian muktamad, dilihat ramai sebagai cerminan kepada pergolakan dan ketidaktentuan dalam blok Perikatan Nasional (PN).
Walaupun proses peralihan jawatan Pengerusi PN sudah selesai pada Februari lalu, dengan ia kini diterajui Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, jawatan Ketua Pembangkang yang penting sebagai tonggak semak imbang di Parlimen itu masih tergantung.
Malah, pemerhati politik menyifatkan peletakan jawatan Ketua Pembangkang oleh Ahli Parlimen (AP) Larut (Perak), Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada 11 April lalu sepatutnya memudahkan lagi proses pelantikan baru.
Namun sehingga hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, dilaporkan masih belum menerima surat pemakluman mengenai kekosongan jawatan itu.
Ia sekali gus menimbulkan persepsi dan persoalan tentang kesepakatan sebenar antara dua komponen utama dalam PN – PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – dalam menentukan hala tuju politik mereka.
Malah, pemerhati juga menyifatkan tindakan PAS yang melengahkan atau terlalu berhati-hati dalam menamakan Ketua Pembangkang baru, telah menimbulkan keraguan terhadap keupayaan parti itu yang mengambil alih kepimpinan PN selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan Pengerusi pada 1 Januari lalu.
Geostrategis dan Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan, melihat keadaan itu berpotensi menjejaskan persepsi rakyat terhadap keupayaan PN sebagai ‘kerajaan menunggu’.
DILEMA MAHU KEKALKAN HAMZAH
Beliau tidak menolak kecenderungan dalam kalangan AP PAS untuk mengekalkan Datuk Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, yang ketara bercanggah dengan pendirian kepimpinan Bersatu, khususnya Tan Sri Muhyiddin yang tidak bersetuju dengan perkara itu, turut menjadi faktor kelewatan pelantikan Ketua Pembangkang.
Malah, dari 25 AP Bersatu, sekurang-kurangnya 18 AP dilaporkan menyokong Datuk Hamzah, termasuk untuk mengekalkan jawatan Ketua Pembangkang sebelum ini.
Namun Profesor Dr Azmi berkata realitinya pelantikan jawatan itu kini lebih dipengaruhi oleh kepimpinan parti dalam gabungan, bukan semata-mata sokongan AP.
“Sepatutnya isu ini sudah selesai lama, tetapi PAS dilihat berkeras untuk kekalkan Datuk Hamzah. Sebab itu ada ura-ura mengatakan bahawa pelantikan itu perlu dilakukan melalui undi AP, bukan penentuan daripada empat parti yang menerajui PN.
“Jika mengikut bilangan AP di Dewan Rakyat, PAS memang mempunyai kelebihan dengan 43 wakil, tetapi dalam konteks PN, pelantikan Ketua Pembangkang perlu mengambil kira kompromi antara parti-parti utama.
“Ini penting kerana itulah kunci untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian dalam PN,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 14 Mac lalu telah memutuskan jawatan Ketua Pembangkang akan dipegang oleh seorang AP dari PAS bagi menggantikan Datuk Hamzah, dengan Pengerusi PN memaklumkan nama AP yang akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang baru itu akan diumumkan sebelum akhir Mac.
Namun, memasuki pertengahan April, kedudukan Ketua Pembangkang masih samar.
Justeru Profesor Dr Azmi berpandangan PAS tidak lagi wajar melengahkan pelantikan Ketua Pembangkang selepas Bersatu sedia berkompromi menyerahkan jawatan itu kepada PAS.
“Saya berpandangan bahawa jawatan Ketua Pembangkang sepatutnya diberikan kepada Bersatu sebagai imbangan kepada pelantikan Pengerusi PN daripada PAS, sekali gus memastikan kestabilan dalaman gabungan.
“Bagaimanapun, perkembangan terkini menunjukkan laluan diberi kepada calon PAS untuk mengisi jawatan tersebut. Laluan itu mungkin dipersetujui Tan Sri Muhyiddin sebagai usaha untuk mengekang pengaruh Datuk Hamzah dalam blok pembangkang.
“Ini menunjukkan kompromi politik. Dalam satu sudut berjaya menyingkirkan Datuk Hamzah, tetapi dalam sudut lain terpaksa mengalah kepada PAS,” katanya lagi.
Bagi Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ikmal Hisham Mohd Tah, situasi berlarutan itu menunjukkan kegagalan blok pembangkang mencapai kesepakatan dalam menentukan kepimpinan mereka.
“Parlimen memerlukan pembangkang yang membina dan berfungsi sebagai semak dan imbang kepada kerajaan. Jika pelantikan ketua pun masih tidak dapat dimuktamadkan, ia boleh memberi kesan kepada amalan demokrasi serta keyakinan rakyat,” katanya kepada BH.
TIADA PROSEDUR KHUSUS
Beliau menjelaskan bahawa tiada prosedur khusus dalam pelantikan Ketua Pembangkang di Parlimen, sebaliknya mengikut kelaziman, ia ditentukan melalui rundingan dan persetujuan dalaman antara parti-parti dalam blok pembangkang.
Menurut Dr Ikmal, pelantikan Ketua Pembangkang juga tidak melalui proses undian rasmi.
“Amalannya, ketua parti terbesar dalam blok pembangkang akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang, namun ia bergantung kepada kesepakatan bersama, pihak mana yang mahu dilantik,” katanya lagi.
Mengulas kemungkinan jika Datuk Hamzah kembali dilantik sebagai Ketua Pembangkang, beliau berkata tidak pernah berlaku dalam amalan politik di Malaysia, AP tanpa parti dilantik sebagai Ketua Pembangkang, walaupun ia tidak mustahil dari segi teori.
Jawatan Datuk Hamzah sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini dipertikaikan kerana kedudukan beliau sebagai AP Bebas tanpa parti, selepas Timbalan Presiden Bersatu itu dipecat daripada partinya pada 13 Februari lalu.
Beliau dilaporkan bakal mengambil alih satu parti politik, namun ada juga spekulasi beliau bakal menyertai PAS.
Dalam konteks semasa, Dr Ikmal berpandangan PAS secara asasnya mempunyai kedudukan untuk mengetuai pembangkang berdasarkan jumlah kerusi.
Beliau turut berkata tiada halangan sekiranya Datuk Ahmad Samsuri dilantik sebagai Ketua Pembangkang walaupun memegang jawatan Menteri Besar Terengganu, namun keadaan itu belum pernah berlaku dalam sejarah politik negara.
Beliau menegaskan keputusan akhir tetap bergantung kepada pertimbangan parti-parti dalam PN sama ada mahu memberi laluan kepada wakil PAS, Bersatu atau mana-mana AP untuk mengisi jawatan tersebut.
“Kesimpulannya, sesiapa sahaja boleh dilantik selagi mendapat sokongan majoriti dalam blok pembangkang. Namun apa yang lebih penting ialah keupayaan untuk menyatukan dan memimpin pembangkang secara efektif,” katanya.
Berkongsi prosedur pelantikan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, pakar undang-undang dan perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, berkata jawatan itu tidak disebut secara khusus dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya diperuntukkan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, khususnya Peraturan 4A.
SPEAKER BOLEH TENTUKAN
Beliau menjelaskan bahawa peraturan tersebut menetapkan Ketua Pembangkang hendaklah seorang Ahli Dewan Rakyat iaitu AP, namun sekiranya timbul sebarang pertikaian mengenai siapa yang memegang jawatan itu, keputusan muktamad terletak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Jika berlaku keraguan atau pertikaian tentang siapa Ketua Pembangkang, Speaker mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, dan keputusan tersebut adalah muktamad dan konklusif,” katanya kepada BH.
Dr Khairil Azmin pula berpandangan seorang AP bebas atau tidak berparti boleh dilantik sebagai Ketua Pembangkang dan ia bukan sesuatu yang mustahil kerana tiada peruntukan khusus yang mewajibkan jawatan itu dipegang oleh mana-mana parti tertentu.
Menurutnya, pelantikan Ketua Pembangkang lazimnya bergantung kepada persetujuan dalam kalangan AP blok pembangkang, sama ada melalui parti terbesar atau gabungan yang membentuk majoriti sokongan.
“Yang penting ialah kepercayaan dan kesepakatan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang. Ketua Pembangkang perlu mampu bekerjasama dengan semua pihak kerana fungsi utama beliau adalah semak dan imbang kepada kerajaan,” jelasnya.
Mengulas kemungkinan Datuk Ahmad Samsuri yang memegang jawatan dalam pentadbiran sebuah kerajaan negeri dilantik sebagai Ketua Pembangkang, beliau berkata ia tidak menyalahi undang-undang dan bahkan boleh menjadi sejarah baharu negara.
“Tiada halangan dari segi undang-undang untuk seorang Menteri Besar memegang jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, namun ia sesuatu yang menarik dan melakar sejarah baru,” katanya.
