Bersatu pecat Timbalan Presiden, 16 AP pula tuntut Muhyiddin undur

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bersatu pecat Timbalan Presiden, 16 AP pula tuntut Muhyiddin undur

Lembaga yang bersidang pada 12 Feb putuskan pemecatan
Feb 13, 2026 | 6:19 PM

Bersatu pecat Timbalan Presiden, 16 AP pula tuntut Muhyiddin undur

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Malaysia, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Bersatu, Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin, ahli Parlimen
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, berkuat kuasa 13 Februari. - Foto FMT

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di ambang perpecahan, dengan Lembaga Disiplin parti tersebut memecat keahlian Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan tiga lagi Ahli Parlimen (AP) parti itu, berkuat kuasa 13 Februari.

Dalam masa sama 16 AP Bersatu pula mendesak peletakan jawatan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pemecatan Datuk Hamzah daripada Bersatu berlaku ketika kemelut kepimpinan antara Datuk Hamzah dengan Tan Sri Muhyiddin semakin meruncing.

Surat daripada Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, menyatakan bahawa pemecatan itu dibuat selepas pemimpin terbabit melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti.

Tiga lagi AP yang dipecat ialah AP Gerik (Perak), Encik Fathul Huzir Ayob; AP Padang Rengas (Perak), Kapten Azahari Hasan; dan AP Machang (Kelantan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.

Satu notis yang dikeluarkan dan ditandatangani oleh Datuk Mohd Radzi memaklumkan, lembaga yang bersidang pada 12 Februari itu memutuskan pemecatan berkenaan.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengesahkan perkara itu dan berkata Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah dimaklumkan mengenai keputusan Lembaga Disiplin itu.

Bagaimanapun menurut notis berkenaan, Datuk Hamzah dan AP terbabit boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis berkenaan.

Datuk Hamzah dan dua lagi AP terbabit telah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin pada 12 Februari, namun mereka tidak menghadirkan diri.

Setiausaha Sulit Datuk Hamzah, Encik Ahmad Ikhwan Fadhli, sebelum ini dilaporkan berkata Datuk Hamzah tidak dapat hadir ke prosiding Lembaga Disiplin kerana berada di Australia bagi membantu menguruskan pendaftaran universiti anak perempuannya.

Beliau dilaporkan sudah berada di luar negara ketika menerima notis daripada Lembaga Disiplin pada 7 Februari, dan telah segera memaklumkan kepada Lembaga Disiplin bahawa beliau tidak dapat hadir.

Lembaga Disiplin Bersatu dalam satu notis panggilan sebelum ini memaklumkan, Datuk Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dipanggil berkaitan isu kritikan dan serangan terhadap Tan Sri Muhyiddin serta rundingan membabitkan presiden parti dalam PN.

Terdahulu, 16 AP Bersatu menandatangani satu kenyataan bersama yang menuntut Tan Sri Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden Bersatu.

Dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook bekas ahli Bersatu yang dipecat, Datuk Wan Saiful Wan Jan, pada 13 Februari, 16 AP terbabit itu menyatakan sokongan terhadap kenyataan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang sebelum ini mendesak peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin.

“Tanpa menafikan jasa dan sumbangan Tan Sri Muhyiddin sebelum ini, hakikatnya beliau sudah tidak lagi mampu menyatukan parti dan memimpin parti ke arah kemenangan.

“Kami yakin bahawa Datuk Hamzah mampu menjadi Pemangku Presiden yang baik, mampu mengembalikan agenda Bersatu kepada perjuangan agenda rakyat dan negara, serta mampu menyatukan kembali parti demi memastikan kemenangan,” kata kenyataan itu.

Mutakhir ini, beberapa bahagian Bersatu di seluruh Malaysia telah mendesak Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan selepas dilihat tidak lagi berkemampuan menerajui Bersatu, dan dalam masa yang sama kelompok penyokong mantan Perdana Menteri itu pula mendesak pemecatan Datuk Hamzah daripada Bersatu.

Sebelum ini pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada September 2025, berlaku kekecohan yang mana beberapa perwakilan mendesak Tan Sri Muhyiddin berundur daripada jawatan Presiden dan memberi laluan kepada peralihan kuasa kepada Datuk Hamzah untuk menerajui Bersatu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg