Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes Altantuya: Ekstradisi halang M’sia bawa pulang bekas polis dari Australia

Nov 14, 2023 | 1:24 PM
DIBEBASKAN MAHKAMAH AUSTRALIA: Gambar fail bekas anggota polis Azilah Hadri (dua dari kiri) dan Sirul Azhar Umar (dua dari kanan) pada 15 Januari 2005 setelah dituduh membunuh Altantuya Shaariibuu.
DIBEBASKAN MAHKAMAH AUSTRALIA: Gambar fail bekas anggota polis Azilah Hadri (dua dari kiri) dan Sirul Azhar Umar (dua dari kanan) pada 15 Januari 2005 setelah dituduh membunuh Altantuya Shaariibuu. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar, boleh mengemukakan permohonan semakan di mahkamah menerusi peguamnya terhadap sabitan hukuman mati ke atasnya bagi kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sekiranya sabitan hukuman mati itu berubah kepada hukuman lain seperti penjara sepanjang hayat, barulah proses ekstradisi boleh dilakukan.

Beliau menjelaskan, langkah itu boleh dipertimbangkan memandangkan negara baru saja mengubah hukuman mati mandatori, dengan memberi budi bicara kepada mahkamah dan hakim.

“Oleh kerana status Sirul Azhar sudah dijatuhkan hukuman, persoalan seterusnya ialah apakah beliau melalui peguam boleh memohon agar hukuman ke atasnya itu dapat dikemukakan (semakan),’‘ ujar Datuk Saifuddin Nasution.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berbincang dengan pihak berkaitan, termasuk Pejabat Peguam Negara dan mahkamah, bagi memutuskan tindakan membawa pulang Sirul Azhar.

Mengulas lanjut, Datuk Saifuddin Nasution berkata, biarpun Malaysia dan Australia mempunyai perjanjian ekstradisi, wujud kekangan tertentu untuk melaksanakan proses itu memandangkan Australia tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati dalam undang-undangnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, apa yang dapat dilihat masa ini pihak berkuasa Australia tidak akan memberi kerjasama kepada Malaysia sekiranya hukuman gantung mandatori terhadap Sirul masih lagi berkuat kuasa.

“Kita perlu melihat daripada ‘dual criminality’ (peruntukan hukuman kedua-dua negara) maksudnya kesalahan yang berlaku di Malaysia dan kesalahan itu juga ada di Australia dan hukumannya mesti sama, kalau di sana dia dihukum penjara seumur hidup, di negara kita juga penjara sepanjang hayat,’‘ ujar beliau.

Dalam temubual dengan Malay Mail, peguam menjelaskan bahawa kini terletak di bahu Sirul untuk memohon kepada Mahkamah Persekutuan Malaysia agar hukuman matinya digantikan dengan hukuman penjara dan sebatan.

Namun, jika Sirul memilih untuk tidak berbuat demikian dan hukuman matinya kekal, tiada apa yang boleh dilakukan oleh Malaysia di bawah undang-undang semasa untuk mengekstradisi Sirul dari Australia.

Datuk N. Sivananthan, seorang peguam jenayah kanan, berkata bahawa pilihan untuk kekal di Australia mungkin lebih menarik bagi Sirul. “memandangkan Sirul telah dibebaskan dari tahanan, dia kini boleh tinggal di Australia untuk jangka masa yang tidak terhad, jadi saya tidak melihat sebab mengapa dia akan kembali ke Malaysia di mana pada paling baik, hukuman antara 30 hingga 40 tahun menantinya,” tambah beliau.

​Bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan dengan kesalahan membunuh Altantuya dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia.

Pembebasannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 November, yang memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.

Sirul, 51 tahun, meninggalkan Malaysia pada Oktober 2014 ketika kes itu masih lagi dalam rayuan dan tidak pulang ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Dia ditahan oleh pihak berkuasa Australia dan dasar negara itu adalah tidak menghantar pulang individu yang berdepan dengan hukuman mati di negara asal.

Sebelum ini Sirul Azhar dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen Australia sejak 2015. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg