Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes bayi dua bulan didera di Melaka: Datuk mangsa akan jaganya

May 8, 2025 | 6:10 PM
abuse, dera, bayi, cedera
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka akan terus memantau perkembangan kesihatan bayi berkenaan yang masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Melaka sejak dimasukkan ke unit itu pada Isnin lalu. - Foto PIXABAY

MELAKA: Bayi lelaki berusia dua bulan yang parah dipercayai didera ibu bapanya masih dalam pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka.

Pengarah JKM Melaka, Cik Halyjah Muhamad berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan kesihatan bayi berkenaan yang masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Melaka sejak dimasukkan ke unit itu pada Isnin lalu.

Menurutnya, JKM juga telah menghubungi waris mangsa dan penjagaan bayi itu akan diuruskan oleh datuknya yang mempunyai pertalian darah.

“Sebagai waris, memang kami mengalu-alukan mereka untuk menjaganya kerana mempunyai hak serta hubungan keluarga.

“Dalam masa yang sama, kita akan terus memantau perkembangan kesihatan bayi lelaki ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Khamis.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan bahawa bayi tersebut kini bertarung nyawa di Hospital Melaka akibat mengalami pendarahan dalam kepala, luka dan lebam selepas dipercayai didera.

Menurut sumber, insiden menimpa bayi tunggal pasangan itu terbongkar selepas si ibu membawa anaknya ke Hospital Alor Gajah dan mendakwa bayi tersebut mengalami sawan.

Katanya, bayi terbabit kemudian dirujuk ke Hospital Melaka dan hasil pemeriksaan doktor pakar menemui kesan lebam dan luka pada badan serta leher bayi, selain pendarahan lama dan baru dalam kepala.

“Doktor yang merawat telah membuat laporan polis selepas mengesyaki bayi tersebut menjadi mangsa penderaan.

“Difahamkan juga, si bapa turut menepuk dada bayi tersebut beberapa kali kerana berang dengan tangisannya, manakala si ibu disyaki telah menghempas bayi itu ke lantai,” katanya.

Susulan insiden kekejaman yang menimpa bayi itu, pasangan suami isteri muda masing-masing berusia 22 tahun dan merupakan penganggur telah direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Seksyen sehingga Selasa ini, selepas disyaki mendera bayi sulung mereka.

Hakim Haderiah Siri membenarkan perintah reman terhadap kedua-dua suspek bermula Rabu hingga Selasa depan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, ketika dihubungi memaklumkan bahawa keadaan bayi tersebut telah mula sedar daripada koma dan menunjukkan perubahan positif. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg