Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guru prasekolah dihukum penjara dera 2 budak bawah jagaannya

May 5, 2025 | 7:23 PM
Seorang guru prasekolah wanita dihukum penjara setahun tujuh bulan kerana mendera dua kanak-kanak di bawah jagaannya di sekolah.
Seorang guru prasekolah wanita dihukum penjara setahun tujuh bulan kerana mendera dua kanak-kanak di bawah jagaannya di sekolah. - Foto fail

Seorang guru prasekolah mendera dua kanak-kanak di bawah jagaannya, termasuk menempeleng mereka. 

Sebuah kamera litar tertutup (CCTV) merakam guru tersebut tersengih setelah dia menjatuhkan bongkah ‘foam’ (sejenis getah berbusa) di dalam sebuah bilik stor setelah mengheret seorang mangsa.

Wanita warga Singapura berusia 30 tahun itu tidak boleh dinamakan bagi melindungi identiti mangsa. 

Mangsa ialah seorang budak perempuan setahun, V1, dan seorang budak lelaki dua tahun, V2.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Cik Ariel Tan, memberitahu mahkamah penderaan oleh wanita tersebut telah menyebabkan kededua mangsa terjejas dari segi psikologi. 

DPP berkata: “Sejak 27 Jun 2022, V1 mula menangis dan merengek dalam tidur, berkata ‘tak nak’ atau ‘tidak’ sambil menangis. Keadaannya berbeza-beza – setiap malam dalam seminggu atau dua atau tiga hari seminggu.

“Hubungan V1 bersama ayahnya juga terjejas beberapa bulan kerana tertuduh memberitahu V1 bahawa ayah V1 telah membenarkannya memukul V1. 

“V2 pula mula bersembunyi di bawah meja ataupun memasuki bilik gelap untuk duduk di satu sudut apabila dia dikenakan disiplin di rumah.” 

Pendera itu, yang kini tidak lagi bekerja sebagai guru prasekolah, merupakan ibu dua anak berusia lima bulan dan 17 bulan. 

Dia dihukum penjara setahun dan tujuh bulan pada 5 Mei. Dia mengaku salah atas tiga tuduhan menganiaya seorang kanak-kanak. 

Bekas rakan sekerjanya, seorang warga Cina berusia 29 tahun, disebut sebagai A1, telah dihukum penjara 14 hari pada April. 

DPP Tan berkata wanita pertama itu mula bekerja di prasekolah tersebut pada Julai 2020.

Sejak Januari 2022, dia bekerja dengan A1 untuk mengajar sebuah kelas ‘play group’, merangkumi kanak-kanak berusia dari satu tahun setengah hingga tiga tahun. 

Pada 5 Mei, peguam bela, Cik Vinit Chhabra, memberitahu mahkamah blok ‘foam’ berkenaan adalah lembut dan ia adalah amalan biasa di sekolah untuk menghukum pelajar dengan meletakkan mereka di dalam bilik stor atau di bawah meja.

DPP Tan berkata tidak ada bukti berlaku amalan seperti itu. Beliau juga berkata blok-blok itu kelihatan lembut kepada orang dewasa, mereka mungkin tidak begitu kepada kanak-kanak.

Mahkamah diberitahu tertuduh juga melakukan beberapa bentuk penderaan lain.

Pendera dikatakan telah melakukan kesalahan itu kerana dia “tertekan”.

Dia ditawarkan ikat jamin $20,000 dan dijangka mula menjalani hukuman pada 9 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg