Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes Covid-19 di M’sia masih terkawal: Menteri

Dec 29, 2023 | 4:12 PM
DATUK SERI DR DZULKEFLY AHMAD
DATUK SERI DR DZULKEFLY AHMAD - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keadaan Covid-19 di Malaysia masih terkawal yang mana kes dilaporkan mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan hospital.

Menyatakan demikian, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, juga mengesahkan tiada varian baru dikesan di negara itu setakat ini.

Varian yang menular di negara itu, katanya, masih varian Omicron dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1.

“Kadar kemasukan pesakit yang menghidap Covid-19 ke hospital adalah pada 0.5 peratus dan kadar kematian 0.08 peratus setakat 17 hingga 23 Disember.

“Ini bermaksud kadar untuk kedua-dua parameter ini kekal pada tahap yang rendah,” katanya dalam satu kenyataan pada 29 Disember.

Beliau menambah, subvarian Omicron yang sedang menular setakat ini diketahui tidak menyebabkan kes lebih teruk.

“Virus Covid-19 akan terus berada bersama kita, sama seperti virus saluran pernafasan yang lain antaranya influenza.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa mengamalkan keseimbangan dari segi kesihatan dan kehidupan ketika musim peningkatan kes-kes sakit berjangkit,” katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau situasi Covid-19 dan varian yang berkaitan dari semasa ke semasa.

“Kumpulan rentan seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik dan imuniti rendah adalah amat digalakkan untuk memakai pelitup muka ketika berada di tempat sesak atau semasa menggunakan pengangkutan awam.

“Orang ramai dinasihatkan supaya meneruskan tanggungjawab penjagaan kendiri, melindungi golongan rentan dan mendapatkan maklumat yang betul serta sahih berkaitan kes jangkitan saluran pernafasan termasuk Covid-19 melalui sumber yang boleh dipercayai.

“Dengan komitmen daripada semua lapisan masyarakat, situasi Covid-19 di negara ini akan kekal terkawal,” katanya lagi.

Sementara itu, pegawai jabatan kesihatan dan kakitangan perubatan telah ditempatkan di semua pusat pemindahan banjir (PPS) untuk menyaring semua penduduk bagi gejala Covid-19 untuk mengelak sebarang wabak penyakit itu.

Setiap orang yang mendaftar masuk ke PPS akan disaring dan didaftarkan oleh golongan pegawai berkenaan, kata Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan. – BHM, The Star.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg