Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bercadang untuk kembali melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebagaimana ketika negara itu berdepan kemuncak serangan Covid-19 pada 2020 hingga 2021.
Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pertanyaan awam mengenai kebimbangan pelaksanaan PKP banyak diterima KKM.
Pihaknya menegaskan setakat ini, tiada perancangan untuk berbuat demikian, walaupun kes Covid-19 dilaporkan melonjak ketika ini.
Beliau sebaliknya berkata kementeriannya terus agresif memperkukuhkan Pelan Pengurusan Covid-19 melalui lima strategi utama, bagi mengawal jumlah kes.
“Setakat ini, sejumlah 20,696 kes baru direkodkan sepanjang Minggu Epidemiologi (ME) 50 (10 hingga 16 Disember 2023).
“Kita akui negara mengalami peningkatan kes yang mendadak, tetapi kita harap tidak perlu mengulangi PKP,” katanya semasa sidang media khas di Putrajaya pada 18 Disember.
Datuk Dr Dzulkefly berkata walaupun jumlah kes Covid-19 dilihat meningkat, ia masih terkawal dan kemudahan kesihatan ketika ini bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan termasuk peningkatan kemasukan jumlah pesakit ke hospital.
Menurutnya, peningkatan kes kepada 20,969 kes itu bersamaan 62.2 peratus, berbanding dengan jumlah kes yang dilaporkan pada ME 49/2023.
“Majoriti 97 peratus kes adalah kategori 1 dan 2 (gejala ringan).
“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 151 kes, yang mana 96 kes memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Beliau berkata lima strategi yang digariskan untuk kawalan Covid-19 kali ini ialah pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-CoV-2.
“Strategi kedua ialah pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek), sementara strategi ketiga, pemantauan kemudahan kesihatan, pengurusan dan kawalan kes Covid-19 terutama untuk melindungi golongan berisiko tinggi.
“Strategi keempat, pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan dan strategi kelima, pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.
Datuk Dr Dzulkefly berkata selain ketersediaan kemudahan kesihatan, bekalan vaksin juga mencukupi untuk menampung keperluan golongan yang memerlukan suntikan dos ketiga terutama warga emas dan penghidap penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan jantung.
“Golongan yang mahu mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak boleh mendatangi klinik kesihatan secara ‘walk-in’ (jumpa terus) yang berhampiran dengan lokasi mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, buat masa ini, KKM juga tidak bercadang mengehadkan kemasukan pelancong asing sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19 kerana langkah perlu telah diambil di pintu masuk negara, antaranya saringan kesihatan.
“Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, KKM melaksanakan saringan kesihatan di pintu masuk dan pelawat yang bergejala akan diasingkan untuk pemeriksaan dan ia diteruskan sehingga kini,” katanya.
Kementerian itu juga buat masa ini tidak melihat keperluan mewajibkan pelaksanaan semula saringan suhu dan pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera untuk orang ramai masuk ke restoran sebagaimana yang pernah dilaksanakan ketika negara menghadapi pandemik pada 2020 dan 2021.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg