Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes Covid-19 di M’sia masih terkawal walau meningkat

Dec 13, 2023 | 6:44 PM
BERJAGA-JAGA: Sebahagian hadirin memakai pelitup muka semasa menghadiri sesi Town Hall Dasar Francais Negara (DFN) 2030 pada 13 Disember berikutan kes COVID-19 dalam negara yang meningkat.
BERJAGA-JAGA: Sebahagian hadirin memakai pelitup muka semasa menghadiri sesi Town Hall Dasar Francais Negara (DFN) 2030 pada 13 Disember berikutan kes COVID-19 dalam negara yang meningkat. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jumlah kes baru Covid-19 di Malaysia mencatatkan peningkatan dua kali ganda iaitu dari 6,796 kepada 12,757 kes dalam tempoh seminggu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata peningkatan itu direkodkan sepanjang Minggu Epidemiologi ke-49 (ME49/2023), berbanding ME48/2023 (26 November hingga 2 Disember).

Beliau berkata dalam tempoh itu jumlah kemasukan pesakit Covid-19 (termasuk pesakit yang disyaki Covid-19) ke pusat kesihatan di Malaysia, bagi penggunaan katil bukan kritikal juga meningkat kepada 1.4 peratus.

“Begitu juga dengan penggunaan katil Unit Jagaan Rapi (ICU), jumlahnya meningkat kepada 1.4 peratus dan peratusan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga meningkat kepada 0.5 peratus.

“Walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19, secara keseluruhan keadaan di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan pusat kesihatan yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada 13 Disember di Putrajaya.

Beliau berkata di Malaysia, peningkatan itu seiring dengan trend yang berlaku pada setiap hujung tahun seperti dilaporkan di negara lain di peringkat global.

Katanya, majoriti kes Covid-19 di Malaysia mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

“Varian yang masih menular di Malaysia ialah Omicron dengan subvarian XBB.1.16, XBB.1.5 dan EG.5. Varian ini, walaupun diketahui mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi, ia tidak menyebabkan kes yang teruk,” katanya.

Datuk Dr Muhammad Radzi berkata setakat ini ubat antiviral Paxlovid adalah ubat antivirus yang digunakan pusat kesihatan di Malaysia untuk merawat Covid-19.

Menurutnya, walaupun varian Covid-19 baru terus muncul, rawatan menggunakan Paxlovid masih berkesan untuk kesemua varian Covid-19 yang ada buat masa sekarang.

“Rawatan antiviral masih boleh mengurangkan gejala Covid-19 dan mengelakkan penyakit daripada menjadi lebih teruk.

“Pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi iaitu individu berusia 60 tahun dan ke atas, mempunyai daya tahan badan yang rendah, mempunyai apa-apa penyakit atau obes, disarankan untuk mendapat rawatan menggunakan Paxlovid.

Paxlovid berkesan apabila diambil dalam tempoh masa lima hari dari hari gejala bermula. Oleh itu, pesakit yang berisiko tinggi disarankan untuk menjalani ujian sebaik sahaja mereka mempunyai gejala,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau situasi Covid-19 serta varian berkaitan dan ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah pencegahan termasuk menggunakan pelitup muka di luar rumah, mengelakkan tempat sesak, amalkan penjagaan kebersihan diri dan segera lakukan pemeriksaan dan dapatkan rawatan jika bergejala. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg