JOHOR BAHRU: Polis menahan sembilan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes melarikan seorang wanita di Kulai, Johor, pada Mei.
Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M Kumar, berkata pihaknya bertindak atas maklumat dan hasil risikan.
Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor dan Bukit Aman telah melakukan tangkapan terhadap suspek yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 48 tahun di beberapa lokasi di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor dari 23 hingga 25 Mei lalu.
“Kesemuanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah. Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, lapor Astro Awani.
Encik Kumar berkata dengan penahanan suspek kesemua mereka kini direman selama 14 hari bermula 24 Mei bagi membantu siasatan dan kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 5 Jun.
Beliau berkata lima suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan Mahkamah Majistret Kulai pada 6 Jun mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 serta Seksyen 383 Kanun Keseksaan, namun mereka mengaku tidak bersalah.
Menurut Encik Kumar, empat lagi dibebaskan dengan bon jaminan untuk menjadi saksi pendakwaan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
Dalam kejadian pada 16 Mei, seorang wanita berusia 30 tahun dilarikan tiga lelaki bersenjata parang ketika berada di rumahnya di Taman Lagenda Putra, Kulai, sebelum mangsa dibebaskan di stesen bas sekitar Skudai, Johor, pada hari yang sama.
Mangsa yang bekerja sendiri bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibebaskan suspek selepas menerima wang tebusan melibatkan kerugian berjumlah RM111,000 ($31,796).
Mangsa mengalami kecederaan akibat ditumbuk dan diseret ketika dipaksa masuk sebuah kereta dalam cubaan menculik akibat kejadian itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg