JOHOR BAHRU: Johor merekodkan sekurang-kurangnya 13,100 kes demam denggi sehingga 1 November 2026, meningkat 158.2 peratus berbanding 5,074 kes dalam tempoh sama pada 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata jumlah kematian akibat denggi pula meningkat kepada 15 berbanding 10 dalam tempoh sama pada 2025.

Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-43, manakala jumlah kes mingguan turun 12 peratus kepada 264 berbanding 300 pada minggu sebelumnya.

Menurutnya, Johor Bahru mencatatkan kes mingguan tertinggi dengan 175 kes, atau 66.3 peratus daripada keseluruhan kes, diikuti Kulai dengan 57 kes.

“Daerah Kluang, Batu Pahat, Mersing dan Tangkak menunjukkan peningkatan kes pada ME 43/2026 berbanding ME 42/2026,” katanya dalam kenyataan pada 3 November.

Berdasarkan pecahan kes terkumpul yang disertakan dalam kenyataan itu, Johor Bahru merekodkan 9,598 kes, diikuti Kulai dengan 2,187 kes.

Di daerah Johor Bahru, Mukim Pulai mencatatkan 3,519 kes, diikuti Tebrau dengan 2,241 kes dan Plentong sebanyak 2,228 kes.

Encik Ling berkata sebanyak 24 lokaliti wabak baru dilaporkan pada ME ke-43, melibatkan 13 di Kulai, 10 di Johor Bahru dan satu di Mersing.

Jumlah terkumpul lokaliti wabak di seluruh negeri meningkat 178.2 peratus kepada 1,427 berbanding 513 dalam tempoh sama tahun 2025.

Dalam usaha membendung penularan, beliau berkata anggota kesihatan terus menjalankan kegiatan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk di dalam dan luar rumah.

Namun, penemuan tempat pembiakan serta kawasan berisiko di dalam kediaman menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan membersihkan persekitaran masih perlu dipertingkat.

Sepanjang 2026, sebanyak 5,072 kompaun dengan nilai keseluruhan RM2.5 juta ($789,042) telah dikeluarkan menerusi kegiatan penguatkuasaan. Daripada jumlah itu, 77.35 peratus telah dibayar.

“Masyarakat perlu membersihkan rumah sendiri dengan melakukan aktiviti mencari dan musnah selama 10 minit di kediaman dan tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan tiada tempat atau bekas takungan air yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Pihak sekolah turut diminta menjalankan gotong-royong secara berkala bagi memastikan persekitaran pembelajaran bebas daripada tempat pembiakan jentik-jentik dan air bertakung.

Menurut Encik Ling, penyebaran maklumat pencegahan denggi juga dipergiat melalui infografik di media sosial serta hebahan radio setiap hari.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor turut memuat naik maklumat situasi denggi dan peta lokaliti wabak mengikut mukim secara harian bagi membantu orang ramai mengikuti perkembangan di kawasan masing-masing.