Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes denggi turun di Johor, HFMD terus naik

Jun 18, 2025 | 12:46 PM
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Encik Ling Tian Soon.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Encik Ling Tian Soon. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

JOHOR BAHRU: Negeri Johor mencatatkan penurunan ketara dalam jumlah keseluruhan kes demam denggi bagi Minggu Epidemiologi ke-24 2025 (ME24/2025), dengan 3,157 kes dilaporkan setakat ini, berbanding 7,577 kes dalam tempoh sama pada 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata penurunan sebanyak 58.3 peratus itu menunjukkan keberkesanan tindakan kawalan dan penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,014 kes atau 32.1 peratus dilaporkan di lokaliti wabak manakala baki 2,143 kes atau 67.9 peratus berlaku di lokaliti bukan wabak.

Bagaimanapun, pada ME24/2025, sebanyak 159 kes baru demam denggi telah dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 32.5 peratus berbanding 120 kes pada ME23/2025 sebelumnya.

Daerah Johor Bahru kekal sebagai penyumbang tertinggi dengan 116 kes atau 73 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti Kulai sebanyak 15 kes, Pontian tujuh kes, Muar enam kes, Batu Pahat lima kes, Kota Tinggi dan Segamat masing-masing empat kes, manakala Kluang dan Mersing masing-masing mencatatkan satu kes.

Daerah Tangkak tidak mencatatkan sebarang kes untuk minggu berkenaan.

Tiada sebarang kematian akibat denggi dilaporkan sepanjang ME24/2025.

Setakat ini, jumlah kumulatif kematian denggi bagi tahun 2025 ialah empat kes berbanding 10 kes tahun 2024, iaitu penurunan sebanyak 60 peratus.

Tambahnya aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes giat dijalankan oleh pasukan kesihatan di dalam dan luar rumah.

Namun masih terdapat masyarakat yang kurang peka terhadap pentingnya menjaga kebersihan persekitaran.

Sepanjang tempoh pemantauan, sebanyak 3,263 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.63 juta ($490,000) dan 68 peratus daripadanya telah diselesaikan.

Dalam pada itu, Encik Ling turut memaklumkan bahawa trend jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Johor kekal melepasi paras berjaga-jaga sejak awal 2025.

Jumlah kes bagi ME24/2025 ialah sebanyak 591 kes, meningkat 4.6 peratus berbanding 565 kes yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Kumulatif kes HFMD di negeri itu setakat ini telah mencecah 18,750 kes.

Majoriti kes membabitkan kanak-kanak berusia antara 0 hingga 6 tahun dengan jumlah sebanyak 14,699 kes atau 78.4 peratus, diikuti kumpulan umur 7 hingga 12 tahun sebanyak 3,480 kes, manakala selebihnya adalah dalam kalangan remaja dan dewasa berumur 13 tahun ke atas.

Setakat ini, sebanyak 101 kluster HFMD telah dilaporkan di seluruh Johor, melibatkan institusi pendidikan awal seperti 34 tabika, 27 pra sekolah, 20 taska, 18 tadika, satu sekolah rendah dan satu rumah persendirian.

Walaupun tiada kluster baru dikesan pada ME24/2025, sebanyak 525 kes telah direkodkan daripada 4,192 individu yang terdedah, dengan kadar serangan antara 3.9 hingga 42.9 peratus.

Bagi menangani penularan HFMD, kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Johor telah menjalankan sesi pendidikan kesihatan termasuk sesi ‘townhall’ yang menyasarkan golongan ibu bapa, penjaga serta pengusaha dan guru di institusi pendidikan kanak-kanak.

Dua notis ‘alert’ telah dikeluarkan pada 11 Mac lalu bagi memberi peringatan kepada institusi terlibat agar melaksanakan langkah kawalan rapi termasuk amalan kebersihan yang menyeluruh, pengasingan pelajar bergejala, serta pelaporan segera kes kepada Pejabat Kesihatan Daerah.

Encik Ling menegaskan bahawa komitmen semua pihak termasuk masyarakat dan institusi pendidikan sangat penting bagi memastikan penularan wabak dapat dikekang dengan lebih berkesan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg