KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan Malaysia mengesahkan terdapat kes tertentu yang menunjukkan kos rawatan lebih tinggi telah dikenakan ke atas pesakit yang menggunakan surat jaminan (GL), berbanding pesakit yang membayar dahulu dan membuat tuntutan kemudian.
Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri Kewangan, Cik Lim Hui Ying, yang menjelaskan penemuan kes itu berdasarkan kajian yang dibuat ke atas bil tuntutan hospital swasta kepada pihak syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO).
Berikutan caj yang dikenakan kurang telus, Cik Lim berkata kerajaan Malaysia akan menjalankan kajian lebih terperinci untuk memahami lebih lanjut isu perbezaan bayaran itu dan langkah susulan yang boleh diambil.
“Kerajaan peka terhadap isu ini, termasuk terhadap pengalaman rakyat yang disuarakan pada Sesi Pendengaran Awam yang dilaksanakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) Bayan Baru (Pulau Pinang) daripada Pakatan Harapan, Encik Sim Tze Tzin, mengenai senarai 10 jenis penyakit yang paling kerap dituntut dalam insurans perubatan oleh rakyat Malaysia dan perbezaan caj hospital swasta mengikut bayar dahulu dan tuntut kemudian serta GL.
Pada Disember 2024, Encik Sim dalam satu kenyataan bersama beberapa AP penyokong kerajaan, berkata caj perubatan yang berbeza sehingga empat kali ganda dikesan berlaku antara pemegang insurans dengan pesakit yang membayar tunai.
Kenyataan bersama itu dibuat oleh Encik Sim bersama Encik Jimmy Pua (AP Tebrau, Johor); Encik Mohamad Taufiq Johari (AP Sungai Petani, Kedah), Encik Chiew Choon Mun (AP Miri, Sarawak), Encik R Yuneswaran (AP Segamat, Johor) serta Senator Dewan Negara, Encik Bob Manolan.
Dalam kenyataan itu mereka menyebut sebagai contoh, pesakit denggi yang menggunakan GL akan membayar RM4,978 ($1,506), manakala pesakit pay and claim hanya membayar RM1,288.
Mengulas lanjut, Cik Lim berkata kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan, hospital swasta dan pihak ITO sedang mencari penyelesaian jangka panjang berhubung isu caj perubatan itu.
“Kerajaan akan mengutamakan reformasi kesihatan yang menyeluruh untuk menangani isu inflasi kos perubatan dan caj di hospital swasta, termasuk meningkatkan kos ketelusan ubat-ubatan serta kos perubatan biasa.
“Pelan tindakan bersepadu ini sudah pun dibentangkan ke PAC pada 25 Februari,” katanya.
Sementara itu, Cik Lim memaklumkan bahawa berdasarkan dapatan awal pangkalan data tuntutan bersepadu industri insurans dan takaful, antara jenis penyakit yang mencatatkan kekerapan tuntutan tinggi bagi rawatan di hospital pada 2023.
Ia termasuklah radang paru-paru, masalah berkaitan tulang belakang, sistem pencernaan dan penyakit jantung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg