Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes dua beradik lemas di Pulau Mentigi: Ibu tak sangka sekelip mata anak hilang ‘ditelan’ ombak

Jun 4, 2025 | 12:19 AM
Kejadian menyayat hati, di mana dua beradik ditemui lemas sekelip mata dipukul ombak di Pulau Mentigi, Mersing.
Kejadian menyayat hati, di mana dua beradik ditemui lemas sekelip mata dipukul ombak di Pulau Mentigi, Mersing. - Foto BERNAMA

MERSING: Ibu yang tidak dapat menahan rasa sebak berkongsi pengalaman kehilangan dua anaknya dalam satu kejadian lemas di Pulau Mentigi pada 2 Jun.

“Ombak datang dan ‘menarik’ mereka bertiga sebelum hilang sekelip mata, namun sepupunya itu berjaya selamat,” kata Cik Nurul Huda Abdul Rahman, 44 tahun, kepada agensi berita yang ditukil laman Sinar Harian.

Ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bahagia, Cik Nurul Huda berkata ketika kejadian, beliau dan tiga anaknya, termasuk Ahmad Uwais Al-Qarni, 13 tahun, dan Nur Awatif Udaima, 15 tahun, yang lemas, serta lima ahli keluarga lain berkunjung ke pulau berkenaan untuk berkelah namun tidak merancang untuk bermandi-manda.

“Kami baru selesai makan tengah hari ketika itu dan Uwais sempat bantu ambilkan semua orang makanan serta tuangkan air dan dia orang terakhir makan. Kebiasaannya dia (makan) cepat, tetapi kali ini tak.

“Setelah itu mereka bermain-main di tepi pantai dan tak lama kemudian kakaknya (Nur Awatif Udaima) datang pada saya dan minta bantu betulkan sauknya, saya baru saja nak bagi dia semula, tiba-tiba adik bongsu mereka yang berusia 10 tahun memaklumkan kakak dan abangnya sudah tak kelihatan,” katanya.

Cik Nurul Huda berkata beliau kemudian terus bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kedua-dua anaknya tidak kelihatan sebelum meminta bantuan orang sekeliling.

“Mereka (sebenarnya) bukannya jenis yang galak jumpa air pun, hanya main air gitu-gitu je, namun ombak datang dan ‘menarik’ mereka bertiga sebelum hilang sekelip mata,” katanya sebak.

Cik Nurul Huda yang berkhidmat sebagai pembantu pengurusan murid memaklumkan Nur Awatif Udaima merupakan pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing manakala Ahmad Uwais Al-Qarni pula pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Al-Islamiah Mersing.

Menurutnya, ketika kejadian suaminya, Encik Mohd Hisam Md Sahar, 46 tahun, bersama dua lagi anak mereka, tidak turut serta berikutan mereka menetap di daerah Kulai dan hanya pulang pada hujung minggu.

Beliau memaklumkan jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam At-Thahiriyah Batu 3 kira-kira pukul 10 pagi pada 3 Jun.

Pada 2 Jun, Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim, Suhaizan Saadin, dilaporkan berkata dua beradik berumur 15 dan 13 tahun ditemukan lemas di pantai Pulau Mentigi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg