Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa nahas rempuhan lori sempat sedekah tuaian pertama pisang tanaman sendiri di masjid

Mazlan Ahmad meninggal dalam perjalanan pulang dari solat Jumaat
May 10, 2025 | 6:10 PM
Cik Rohaiza Mazlan (kanan) akan merindui panggilan telefon bapanya, Encik Mazlan Ahmad, yang maut dirempuh lori, pada 9 Mei, dalam perjalanan pulang daripada solat Jumaat.
Cik Rohaiza Mazlan (kanan) akan merindui panggilan telefon bapanya, Encik Mazlan Ahmad, yang maut dirempuh lori, pada 9 Mei, dalam perjalanan pulang daripada solat Jumaat. - Foto ihsan ROHAIZA MAZLAN

KAMPAR: Lelaki warga emas yang maut dirempuh lori ketika dalam perjalanan pulang dari menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Jeram, pada 9 Mei, sempat menyumbangkan pisang hasil tanaman sendiri kepada jemaah masjid itu.

Anak mangsa, Cik Rohaiza Mazlan, 33 tahun, berkata pisang berangan itu adalah tuaian pertama dari kebun kecil yang diusahakan arwah bapanya, Encik Mazlan Ahmad, 68 tahun, di belakang rumah mereka yang terletak kira-kira dua kilometer (km) dari masjid berkenaan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau berkata, terdahulu arwah tiba di masjid kira-kira 12.00 tengah hari, berbanding kebiasaannya keluar sekitar 12.30 tengah hari untuk menunaikan solat Jumaat, malah dikatakan menjadi jemaah kedua terawal sampai ketika itu.

“Ayah membawa sekali pisang berangan, hasil sulung pokok pisang yang ditanamnya sendiri, di kebun belakang rumah.

“Ayah memang berniat hendak sedekahkan pisang tanamannya ke masjid apabila buah itu sudah masak. Jadi, ayah membawa pisang berkenaan ke masjid.

“Kawan-kawan ayah di masjid memberitahu bahawa arwah nampak gembira, lain daripada kebiasaan, malah dikatakan turut membantu membentang sejadah masjid untuk persiapan solat Jumaat, selain menunaikan solat sunat.

“Lazimnya, ayah menjadi antara orang paling akhir keluar masjid selepas solat Jumaat sebab dia suka membantu ahli jawatankuasa masjid mengemas. Namun semalam, dia dilihat seperti terburu-buru hendak balik awal,” kata Cik Rohaiza kepada pemberita di kediaman beliau di Kampung Gua Sanding, Jeram, pada 10 Mei.

Malah, Cik Rohaiza berkata bapanya turut menunjukkan kelainan agak ganjil apabila meminta ibu, Cik Rokiah Taharin, 73 tahun, memasak laksa pada malam sebelum kejadian sedangkan arwah tidak menggemari makanan itu.

“Emak masak laksa itu tetapi apabila disuruh makan, ayah tidak mahu dan hanya jawab nanti dia makan.

“Namun sekarang, baru kami sedar yang laksa itu rupa-rupanya bukan untuk ayah tetapi adik-beradik arwah yang memang menyukai hidangan laksa.

“Ayah seolah-olah memberi petanda yang semua adik-beradiknya akan balik dan berkumpul pada Jumaat untuk menghadiri pengebumiannya,” katanya lagi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jeram kira-kira 10 malam pada 9 Mei.

Menceritakan lanjut, Cik Rohaiza, berkata arwah adalah anak sulung daripada 14 beradik dan memang disayangi serta dihormati mereka, selain pernah menjadi sukarelawan menguruskan jenazah penduduk kampung dan kawasan sekitar.

Menurutnya lagi, Allahyarham amat mengambil berat akan dirinya sebagai anak tunggal walaupun sudah berkahwin, selain mereka tinggal serumah.

“Ayah akan menelefon setiap hari untuk tahu saya berada di mana dan hendak balik jam berapa. Begitulah arwah sejak saya bujang hingga sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

“Terasa sedih sebab bermula semalam, saya tidak akan lagi menerima panggilan daripada ayah,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg