Isu gaji pemandu bas ulang-alik ke Singapura masih dalam proses perbincangan antara pihak majikan dan pekerja yang terlibat, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Menurutnya, Kerajaan Johor tidak akan campur tangan selagi rundingan antara syarikat dengan pemandu terbabit masih berlangsung secara aman dan boleh diselesaikan secara dalaman.
“Buat masa ini kita hanya memantau perbincangan antara kedua-dua pihak. Saya sendiri telah berjumpa dengan pihak majikan dan wakil pemandu bas tersebut, dan memandangkan ia melibatkan syarikat swasta, kita beri ruang buat mereka selesaikan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian pada 22 Julai.
Encik Mohamad Fazli mengesahkan bahawa hanya satu syarikat terlibat dalam isu tersebut dan syarikat berkenaan telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian mogok yang berlaku pada awal pagi 21 Julai.
Dalam kejadian itu, sekitar 100 orang pemandu bas ulang-alik ke Singapura mengambil tindakan berhenti kerja secara tiba-tiba bermula 5 pagi, menyebabkan ribuan penumpang, termasuk pekerja Malaysia yang berulang-alik ke republik ini, terkandas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan beberapa lokasi hentian bas utama.
Syarikat terbabit, Causeway Link (Handal Indah Sdn Bhd), dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa gangguan perkhidmatan yang berlaku di Terminal BSI sekitar 7 pagi hanya berlangsung selama kira-kira 45 minit dan telah diselesaikan sepenuhnya.
Syarikat itu menjelaskan bahawa kekeliruan mengenai pengiraan gaji adalah punca gangguan tersebut, dan ia telah pun dibincangkan bersama kumpulan pemandu yang terlibat.
Pihak syarikat memohon maaf kepada penumpang yang terkesan dan menegaskan komitmen mereka terhadap bayaran gaji yang adil serta mengikut prestasi.
Menurut kenyataan itu lagi, langkah sedang diambil untuk memperbaiki perhubungan dalaman agar kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, Encik Mohamad Fazli turut melakukan tinjauan di Terminal BSI bersama pihak Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura serta wakil semua syarikat pengendali bas awam yang menyediakan perkhidmatan rentas sempadan.
Beliau berkata tujuan lawatan itu adalah untuk membolehkan semua pihak melihat sendiri keadaan sebenar penumpang yang beratur seawal 4 pagi untuk menaiki bas ke Singapura.
“Saya telah mencadangkan agar jadual operasi bas dari Singapura dimulakan seawal 4.30 pagi berbanding waktu sedia ada, iaitu sekitar 5 hingga 5.30 pagi, serta mencadangkan penambahan jumlah perjalanan harian kerana bilangan penumpang terus meningkat setiap bulan,” katanya.
Menurut beliau, statistik daripada Jabatan Imigresen menunjukkan peningkatan sebanyak 1,000 hingga 3,000 orang penumpang bas setiap bulan.
LTA Singapura memaklumkan bahawa cadangan tersebut akan diperhalusi memandangkan operasi tren MRT di republik ini hanya bermula pada 5.35 pagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg