Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes pegawai penjara M’sia digilis lori: Suami kesan isteri ubah sikap, sering minta dicium dahi

May 17, 2025 | 2:43 PM
Kemalangan, pegawai penjara, digilis lori
Ibu tiga anak lelaki, Sarjan Amal Nurlidar Ghazal (tengah dan foto pertama, dua dari kiri), dikatakan menunjukkan perubahan sikap seminggu dua sebelum nahas tersepit dan digilis lori. - Foto ihsan MOHD IZHAM ROSLY

MELAKA: Suami seorang pegawai penjara wanita yang maut digilis lori simen dalam kemalangan tragis di Lebuh SPA pada 16 Mei memaklumkan bahawa isterinya menunjukkan perubahan sikap sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Encik Mohd Izham Rosly berkata dua minggu kebelakangan ini, isterinya, Sarjan Amal Nurlidar Ghazali, 42 tahun, kerap meminta untuk dicium pada dahinya.

“Pada pagi hari kejadian merupakan kali terakhir kami bertemu. Perubahannya itu tidak saya jangka.

“Dalam tempoh dua minggu ini, dia minta saya cium dahinya. Sebelum ini tak pernah, hanya salam dan cium pipi sahaja,” katanya kepada laman Sinar Harian.

Bapa tiga anak itu sempat ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat mengenai insiden yang menimpa isterinya.

“Ketika sampai di tempat kejadian, saya nampak isteri berada di bawah lori dan tertutup.

“Saya cuba ke sana, tapi tidak dibenarkan. Selepas mendapat pengesahan daripada pegawai penyiasat, barulah saya bergerak ke hospital,” katanya lagi.

Encik Mohd Izham turut menasihati pemandu kenderaan berat supaya sentiasa memeriksa keadaan lori sebelum memulakan perjalanan dan lebih berwaspada di jalan raya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang, Sarjan Amal Nurlidar yang merupakan pegawai penjara di Jabatan Penjara Malaysia Datuk Murad, Ayer Keroh, disahkan maut di lokasi selepas menunggang motosikal dan tersepit di bawah lori serta mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan termasuk muka dan kaki.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kegagalan brek lori simen berkenaan.

Pihak Penjara Dusun Datuk Murad berkongsi ucapan takziah buat Allahyarham:

“Semoga roh Allahyarhamha Sarjan Amal Nurlidar Ghazali dikurniakan keampunan dan rahmat, dilapangkan kuburnya dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman serta beramal soleh.

“Semoga segala amalnya di dunia diterima oleh Allah. Semoga syurga menjadi tempat berehat abadi buat beliau.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg