Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keracunan makanan: 21 contoh makanan diambil Jabatan Kesihatan Johor

May 6, 2025 | 1:19 PM
Seramai 16 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Johor Bahru dilaporkan mengalami keracunan makanan sejak 3 Mei.
Seramai 16 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Johor Bahru dilaporkan mengalami keracunan makanan sejak 3 Mei. - Foto KOSMO!

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor sudah mengambil 21 sampel termasuk makanan dari dapur dewan makan dan kafeteria Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Johor Bahru, bagi membantu siasatan berhubung kejadian keracunan makanan membabitkan 16 pelajar pada 3 Mei.

Pengarahnya, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad, berkata selain tujuh contoh makanan, turut diambil adalah enam sampel persekitaran, lima contoh klinikal dan tiga sampel pengendali makanan selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru menerima pemberitahuan berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata premis makanan yang disyaki terlibat telah ditutup di bawah Seksyen 18 (1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 (Akta 342) bagi tujuan siasatan.

“PKD Johor Bahru masih menjalankan siasatan bagi mengesan pelajar lain yang mungkin bergejala serta mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Jumlah keseluruhan kes yang terlibat adalah 16 pelajar dengan gejala seperti sakit perut, cirit-birit, muntah, loya, sakit kepala, dan demam.

“Sebanyak 11 kes telah menerima rawatan pesakit luar, manakala lima kes lagi tidak mendapatkan sebarang rawatan. Tiada kes yang dimasukkan ke wad,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Kosmo!.

Pada 3 Mei, media melaporkan sekurang-kurangnya 16 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Johor Bahru dilapor mengalami gejala muntah-muntah, cirit-birit dan demam disyaki akibat keracunan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata seramai 16 pelajar yang mengalami gejala keracunan makanan dihantar ke beberapa pusat perubatan kerajaan dan swasta.

“Walaupun punca keracunan belum diketahui, ia dipercayai berpunca daripada makanan di kantin sekolah dan sampel makanan diambil oleh pihak pejabat kesihatan untuk mengenal pasti punca keracunan makanan,” katanya.

Pada November 2024, seramai 13 murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu Muar, di Johor, mengalami keracunan makanan selepas makan di kantin sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata pelajar berkenaan mengalami gejala seperti sakit perut sebelum dihantar ke klinik serta hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg