BACHOK (Kelantan): Seorang pekerja kilang yang ditahan berhubung kes pengusaha spa disimbah asid di Beris Kubur Besar pada 17 Mei lalu, direman lima hari bermula 22 Mei.
Perintah tahanan reman hingga 26 Mei itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, lapor Berita Harian Malaysia.
Wanita berusia 38 tahun itu dilihat tiba dengan diiringi polis kira-kira jam 9.20 pagi tadi di Mahkamah Majistret Bachok, dengan memakai tudung dan baju berwarna biru serta seluar sukan berwarna hitam.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, dilaporkan berkata wanita itu ditahan di hadapan sebuah kilang getah di Kuala Krai kira-kira jam 4 petang pada 21 Mei.
Tangkapan dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam 17 Mei itu, pengusaha spa, Cik Nor Faziera Muda, 27 tahun, dilaporkan melecur lebih 80 peratus di bahagian belakang badan dan tangan hingga siku selepas disimbah asid oleh suspek yang menyamar sebagai pelanggan menempah janji temu dengan mangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg