BACHOK: Polis berjaya mengesan empat cap jari dipercayai milik suspek kes seorang pengusaha spa disimbah asid di Beris Kubur Besar, di sini, pada 18 Mei.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata cap jari terbabit dikesan di tempat kejadian yang juga spa milik mangsa wanita berusia 27 tahun. lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Selain itu, beliau berkata bekas dipercayai digunakan untuk mengisi cecair disimbah pada mangsa, turut ditemui.
“Mangsa menyatakan dia menerima janji temu dengan seseorang untuk mendapatkan rawatan urut di kedai perniagaan miliknya.
“Namun ketika mangsa membuka pintu, suspek menyimbah cecair dipercayai asid ke arah mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 Mei.
Encik Mohamad Ismail berkata siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan masih diteruskan, termasuk mengesan suspek.
“Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta terus menyalurkannya kepada Balai Polis Tawang atau Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok,” katanya.
Sementara itu, suami mangsa hanya mahu dikenali sebagai Wan, 33 tahun, berharap orang ramai mendoakan kesihatan isterinya yang sedang menjalani pembedahan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Katanya, beliau sekeluarga berharap pelaku dapat ditangkap secepat mungkin.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam, mangsa cedera dipercayai selepas disimbah asid oleh suspek yang menyamar sebagai pelanggan spanya dengan berpakaian purdah dan bertopeng.
Insiden ngeri itu turut disaksikan anak mangsa berusia tujuh tahun yang berada di lokasi kejadian.
Berdasarkan maklumat awal, suspek dipercayai membabitkan tiga hingga empat individu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg