KUALA LUMPUR: Malaysia Hindu Sangam (MHS) menerima permohonan maaf tiga penyampai radio Era FM berhubung video yang dikatakan mempersenda upacara Thaipusam kavadi.
Berikutan kritikan yang meluas, tiga penyampai terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui tindakan mereka itu tidak sensitif, yang menyaksikan laporan polis dibuat dan siasatan dibuka.
MHS yang merupakan badan tertinggi bagi penganut Hindu memaklumkan Free Malaysia Today (FMT) bahawa pihaknya sedia menerima permohonan maaf sekiranya Radin Amir Affendi Ahmad Aruani, Azad Jasmin dan Nabil Ahmad ikhlas dalam permohonan maaf itu.
Namun video tersebut telah menyinggung maka tindakan perlu diambil, katanya.
“Jika mereka benar-benar insaf atas kesilapan mereka dan mengambil pengajaran, dan mereka ingin memohon maaf dengan sepenuh hati, kami menerima permohonan maaf mereka.
“Kami pasti terima permohonan maaf mereka tetapi mereka masih perlu menghadapi akibatnya,” kata Presiden MHS, Encik T Ganesan.
Beliau berkata dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, isu sebegitu perlu ditangani dengan penuh sensitiviti dan berhati-hati.
Beliau juga berharap kejadian itu menjadi pengajaran kepada semua rakyat untuk tidak mempersendakan mana-mana agama.
Pada 5 Mac, ketika tiga penyampai terbabit memohon maaf di kompleks kuil Batu Caves, ahli jawatankuasa kuil Encik Sivakumar Nadarajah berkata tindakan mereka tidak boleh dimaafkan.
Polis sudah merujuk kertas siasatan kes ini ke Jabatan Peguam Negara pada 6 Mac.
Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg