KOTA BHARU: Polis sudah mengambil sampel asid daripada sebuah kilang getah di Kuala Krai, Kelantan, dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ia bagi mengenal pasti sama ada ia serupa dengan asid yang digunakan dalam insiden simbahan membabitkan pengusaha spa di Bachok itu minggu lalu.
“Setakat ini, kita masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia dan ia mengambil sedikit masa. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian 17 Mei lalu, seorang pengusaha spa disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang.
Akibat serangan itu, mangsa melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki. Beliau kini menerima rawatan lanjut di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), lapor Berita Harian Malaysia.
Ditanya berhubung motif kejadian, Datuk Mohd Yusoff berkata setakat ini, ia belum dapat disimpulkan lagi.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kami dalam proses mengambil keterangan suspek.
“Pada masa sama kita masih mengesan seorang lagi suspek dipercayai rakan kepada dua suspek yang ditahan sebelum ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg