BACHOK (Kelantan): Seorang lelaki yang bekerja di sebuah kilang getah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian simbah asid terhadap pemilik spa di Beris Kubur Besar, di sini pada 17 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaludin, berkata lelaki berusia 45 tahun itu merupakan kenalan kepada suspek pertama yang ditahan di Kuala Krai, kira-kira pukul 4 petang, 22 Mei.
Menurutnya, suspek ditahan di sebuah kilang getah oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok selepas hasil soal siasat terhadap suspek pertama.
“Kita menahan suspek selepas 24 jam penangkapan seorang wanita berusia 38 tahun petang kelmarin. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bachok pagi ini untuk perintah tahanan reman,” katanya, ketika dihubungi Kosmo! pada 23 Mei.
Superintenden Mohamad Ismail memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.
Kosmo! Online pada 22 Mei melaporkan seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dengan kejadian menyimbah asid terhadap pemilik spa sehingga mendatangkan cedera parah di Beris Kubur Besar, di sini, pada 17 Mei.
Superintenden Mohamad Ismail berkata suspek yang bekerja di kilang getah dalam serbuan di sebuah rumah di Kuala Krai pada petang 21 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg