Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas FRU: Isteri mangsa kemalangan enggan salahkan pemandu lori, terima takdir dengan reda

Kongsi suami pernah impikan kematian yang didoakan ramai
May 18, 2025 | 9:41 PM
fru, nahas, lori batu, keluarga Allahyarham
Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Cik Mastura Mohd Khalid (dua dari kiri), menyampaikan sumbangan RM4,000 kepada balu Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri yang terkorban dalam nahas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Cik Norazian Mohd Joned (tiga dari kiri) sambil disaksikan Pengarah Pejabat PTPTN Perak, Encik Andi Nurali Mohamed (kiri), dan anak-anak Allahyarham di Kampung Sungai Itek di Gopeng. - Foto BHM

GOPENG: Isteri Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri, iaitu salah seorang daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam nahas di Teluk Intan pada 14 Mei lalu, enggan menyalahkan pemandu lori batu yang menyebabkan kematian suaminya.

Cik Norazian Mohd Joned, 38 tahun, menganggap kematian suaminya dengan cara itu sebagai takdir, selain menyifatkan Allahyarham sendiri pernah seakan mengimpikan kematian yang membuatkan beliau didoakan ramai orang.

Katanya, Allahyarham menzahirkan hasrat sedemikian susulan tragedi enam penyelam bomba lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lemas di lombong di Puchong pada 3 Oktober 2018, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Kita pun tak salahkan pemandu lori itu. Mungkin itu saja cara Allah nak (ambil nyawa)....Sudah ajal ditetapkan macam itu.

“(Arwah) suami saya pernah cakap sewaktu kes bomba lemas yang tolong ramai-ramai itu. Dia pernah cakap, kita patut cemburu dengan mereka kerana kematian mereka didoakan oleh semua orang, sama ada orang yang kenal mahupun tak kenal pun doakan sama.

“Mungkin agaknya masa itu, dia doa juga hendak mati macam itu kan. Dia pernah cakap yang mereka (enam bomba) itu dapat mati yang baik. Jadi tak tahulah kan, mungkin dalam hati dia doa macam itu juga,” katanya ketika ditemui di kampung halaman Allahyarham Amiruddin, di Kampung Sungai Itek, pada 19 Mei.

Beliau ditemui selepas menerima manfaat perlindungan takaful serta khairat kematian berjumlah RM4,000 ($1,220) bagi skim Simpan SSPN Prime yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Cik Mastura Mohd Khalid.

Cik Norazian, yang juga ibu tiga anak berusia antara setahun dengan 12 tahun itu, berkata beliau malah bermonolog dengan jenazah suaminya ketika ia dibawa menaiki van jenazah dari Teluk Intan ke Markas FRU Sungai Senam, Ipoh mengenai kematian yang diimpikannya itu.

“Saya cakap pada dia (jenazah) semasa dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak ke Markas FRU Sungai Senam tempoh hari.

“Saya cakap, B (panggilan kepada suami), B pernah cakap B cemburu dengan diaorang (enam anggota bomba lemas) tapi sekarang bila sudah dapat kematian macam ini, satu Malaysia doakan.

“Sama juga semasa kematian seorang warga emas yang dalam perjalanan pulang dari masjid selepas solat Jumaat dekat Kampar baru-baru ini. Dia (suami) kata, kalau sudah janji Allah maka seminit pun tak lewat, yang lain-lain itu hanya asbab (sebab), cara hendak ‘pergi’ itu,” katanya lagi.

Cik Norazian yang bertugas sebagai pembantu tadbir di IPD Kampar turut berkongsikan hasrat Allahyarham suaminya untuk menghantar anak sulung mereka, Amirul Firdaus, 12 tahun, memasuki sekolah beraliran tahfiz.

“Memang hasrat arwah sebelum ini hendak menghantar yang sulung ini (Amirul Firdaus) ke tahfiz. Katanya, jika boleh mahu salah seorang anak bersekolah tahfiz untuk bantu ibu dengan abah masuk syurga. Jadi, insya-Allah saya cuba usaha meneruskan niatnya itu,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular gambar Amirul Firdaus sedang mengimamkan solat jenazah bapanya itu.

Mengulas lanjut, Cik Norazian berkata sememangnya menjadi hasrat Amirul Firdaus sendiri mengimamkan solat jenazah bapa kesayangannya itu.

“Masa itu memang dia (Amirul Firdaus) yang minta mengimamkan solat jenazah. Katanya, kalau boleh untuk yang terakhir, abang (panggilan kepada Amirul Firdaus) hendak imamkan abah,” kata Cik Norazian.

Berkongsi mengenai keadaan anak bongsu mereka, Amira Sofea, Cik Norazian berkata boleh dikatakan setiap malam seakan ternanti-nantikan dakapan Encik Amiruddin, dengan usianya setahun sebulan hanya mampu mengungkapkan perkataan ‘bah’, merujuk kepada panggilan ‘abah’.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg