Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes tembak di pusat beli-belah Selangor: Polis buru suspek, pertingkat kawalan keselamatan

Feb 10, 2025 | 2:31 PM
Pengawal keselamatan memantau keadaan di pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor, tempat kejadian tembakan yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan warga asing cedera pada malam 8 Februari.
Pengawal keselamatan memantau keadaan di pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor, tempat kejadian tembakan yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan warga asing cedera pada malam 8 Februari. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia meningkatkan kawalan keselamatan di pusat beli-belah dan tumpuan orang ramai di seluruh negara itu, susulan insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah dekat Setia Alam, Selangor, pada 8 Februari, yang mencederakan seorang pekerja pembersihan.

Ketika ini polis masih memburu suspek yang sudah dikenal pasti, iaitu lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an tahun, berkulit cerah, mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkait jenayah dan dadah serta dipercayai masih bersembunyi di Selangor.

Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata susulan insiden itu, polis Selangor sudah mengenal pasti suspek dan sedang mendapatkan petunjuk serta mengesan lokasinya, selain mengarahkan anggota polis bantuan dan pengawal keselamatan berwaspada terhadap sebarang aktiviti mencurigakan.

“Kita juga sudah mengarahkan polis di negeri jiran serta pihak berkuasa di sempadan untuk berjaga-jaga,” katanya, lapor Harian Metro.

Tan Sri Razarudin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa keselamatan mereka adalah keutamaan dan segala usaha sedang dijalankan untuk membawa suspek ke muka pengadilan.

Dalam kejadian kira-kira 10.50 malam itu, suspek dipercayai menembak seorang pekerja pembersihan ketika mangsa sedang menyimpan peralatan mencuci di aras satu bangunan pusat beli-belah itu, menyebabkan suasana panik dan orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri.

Siasatan awal polis mendapati suspek yang disyaki di bawah pengaruh dadah melepaskan tembakan dipercayai akibat berang ditegur pekerja pembersihan supaya mengalihkan barang yang diletakkan di kawasan kejadian. Bagaimanapun, motif sebenar masih disiasat.

Mangsa yang juga pekerja warga asing berusia 30-an tahun cedera terkena empat das tembakan di kaki serta punggung.

Sebaik kejadian, suspek mengacukan pistol ke arah seorang saksi lain lalu mengarahkan saksi membawanya keluar dari pusat beli-belah berkenaan, sebelum menahan sebuah kereta dipandu seorang pengunjung dan mengarahkan membawanya keluar dari Shah Alam sambil mengacukan pistol.

Suspek yang identitinya dikesan hasil risikan polis dan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah terbabit kemudian meminta pemandu itu berhenti di tepi lebuh raya dan menghilangkan diri.

Pelakon asal Singapura, Datuk Aaron Aziz, mendedahkan anak perempuannya, Dahlia Arissa, turut berada di pusat beli-belah itu ketika kejadian tembakan berlaku.

Menerusi perkongsian di TikTok, Datuk Aaron yang mendapat tahu mengenai kejadian itu segera ke pusat beli-belah terbabit bagi mengambil Dahlia Arissa bersama seorang rakannya bernama Amira.

Datuk Aaron turut menyatakan harapannya agar mereka yang berdepan dengan situasi tersebut berada dalam keadaan yang selamat dan dalam masa sama menasihatkan Dahlia Arissa agar tidak panik setiap kali berdepan keadaan kecemasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg