Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki cetus panik ancaman bom di KLIA ditahan

Apr 29, 2024 | 2:29 PM
Komputer riba disangka bom yang diimbas sebuah mesin pengimbas di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 25 April lalu.
Komputer riba disangka bom yang diimbas sebuah mesin pengimbas di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 25 April lalu. - Foto KOSMO

SEPANG: Seorang pekerja stor di sebuah syarikat di Seri Kembangan, Selangor, ditahan susulan penemuan bungkusan tertera tulisan ancaman bom di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 25 April lalu.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan polis pada hari sama selepas berjaya menjejaki alamat penghantaran pada bungkusan berkenaan.

Ketua Polis Daerah KLIA, Penolong Pesuruhjaya Azman Shari’at, berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku ada menulis di atas balutan plastik.

Bagaimanapun, suspek mendakwa hanya untuk bergurau tetapi tidak sempat memadamkan tulisan ancaman bom berkenaan kerana bungkusan tersebut telah diambil oleh ejen kurier.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan ugutan jenayah dan suspek didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 29 April,” katanya, lapor Kosmo.

Katanya, beliau ingin menasihatkan individu, syarikat atau ejen penghantaran supaya peka dan tidak membuat catatan atau percakapan lisan berkaitan bom atau apa-apa berkaitan bahan letupan pada bungkusan kurier.

Encik Azman menegaskan pihak polis sentiasa mengambil serius atas keselamatan dan ketenteraman awam dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang mencetuskan panik dan ketegangan akibat ancaman bom sedemikian.

Pada 25 April lalu, pekerja di Pusat Kargo KLIA menemui sebuah objek tertera tulisan ancaman ‘AWAS JANGAN CAMPAK NANTI MELETUP INI BOOM’, selepas mengimbas sebuah bungkusan.

Susulan itu, pihak polis terpaksa mendapatkan khidmat Unit Pemusnah Bom PDRM dan mengambil tindakan menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Setelah prosedur dilakukan, didapati bungkusan tersebut mengandungi sebuah komputer riba dan pengecas.

Pada 14 April lalu pula, Terminal 1 KLIA digemparkan dengan insiden tembakan dilepaskan seorang lelaki yang cuba menembak isterinya, ketika wanita itu sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Bagaimanapun, tembakan tersebut mengenai pengawal peribadi wanita berkenaan dan suspek yang juga seorang pengurus syarikat ejen pelancongan telah didakwa di mahkamah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg