KOTA BHARU (Kelantan): Pengurus syarikat agensi pelancongan yang cuba menembak isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada April 2024, dijatuhi hukuman penjara 14 tahun enam bulan serta enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, pada 25 Februari.
Hakim Zulkifli Abllah, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Hafizul Hawari, 38 tahun, yang mengaku bersalah atas tujuh tuduhan termasuk memiliki senjata api pada April 2024 lalu.
Hukuman berkenaan berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 15 April 2024, lapor Berita Harian Malaysia.
Bagi tuduhan pertama, Hafizul dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan, manakala bagi tuduhan kedua dan ketiga dikenakan masing-masing hukuman penjara tiga tahun.
Bagi tuduhan keempat hingga keenam, tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi setiap tuduhan dan tuduhan ketujuh, tertuduh dihukum penjara setahun.
Mengikut tuduhan pertama, Hafizul didakwa memiliki senjata api jenis pistol, manakala bagi tuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir peluru PMC 380 Auto tanpa lesen sah.
Bagi tuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit, sementara bagi tuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain.
Untuk tuduhan ketujuh pula, Hafizul didakwa memandu Honda Civic putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Hafizul dituduh melakukan kesalahan itu pada 15 April 2024, di dalam sebuah kereta Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di Kota Bharu.
Sebelum Hakim Zulkifli menjatuhkan hukuman itu, Hafizul merayu hukuman ringan dikenakan terhadapnya dan memohon maaf atas kesilapan dilakukannya.
Dalam kejadian pada 14 April 2024 lalu, Hafizul melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya di Terminal 1 KLIA, namun satu tembakan tersasar, manakala satu lagi tembakan terkena pengawal peribadi wanita itu.
Kejadian berlaku semasa isterinya sedang menunggu jemaah umrah di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA Terminal 1. Satu tembakan mengenai perut pengawal peribadi, Encik Muhammad Nur Hadith.
Sejurus kejadian tembakan itu, Hafizul melarikan diri ke Kota Bharu dan disyaki mahu melarikan diri ke Makkah melalui Thailand, sebelum berjaya ditahan polis di Kota Bharu.
Hasil siasatan polis, kejadian dipercayai bermotifkan hal peribadi antara dia dengan isterinya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg