KUALA LUMPUR: Selepas 10 hari menjadi buruan polis, suspek lelaki yang terlibat dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah dekat Setia Alam, Shah Alam, Selangor, pada 8 Februari lalu, ditembak mati sebaik berbalas tembakan dengan polis pada awal pagi 18 Februari.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an tahun itu ditembak menerusi satu serbuan dan operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Selangor di sebuah hotel dekat Pulau Ketam, Klang, Selangor, sekitar 3 pagi.
Menurut beliau, sewaktu serbuan tersebut, berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dan penjenayah di sebuah bilik hotel.
“Pasukan polis berjaya menembak mati seorang lelaki dan menemui dua senjata api berisi peluru bersama suspek tersebut.
“Semakan mendapati suspek yang dikehendaki ini mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah dan tujuh kes jenayah samun.
“Suspek turut dipercayai terbabit dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah Setia City Mall, Setia Alam, baru-baru ini,” katanya melalui kenyataan pada 18 Februari, lapor Astro Awani.
Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat disahkan sama ada keberadaan suspek di pulau berkenaan adalah kerana bersembunyi selepas diburu polis sejak kejadian tembakan itu atau cubaan untuk melarikan diri ke luar negara.
Dalam kejadian pada 10 malam 8 Februari lalu, suspek dilapor melepaskan empat das tembakan terhadap seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah berkenaan semasa berada di Aras P1, dipercayai berikutan berang ditegur pekerja terbabit supaya mengalihkan barang yang diletak di tempat kejadian.
Kejadian menyebabkan mangsa cedera di punggung dan kaki, namun sempat menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan, manakala suspek melarikan diri ke Aras P2.
Suspek kemudian melepaskan beberapa lagi tembakan dan terkena pada pintu kaca serta cermin tangga sebelum menahan sebuah kereta.
Lelaki berkenaan terus bertindak ganas apabila mengacukan pistol terhadap mangsa yang juga pengunjung pusat beli-belah itu dan suspek memaksa pemandu terbabit membawanya keluar dari kompleks berkenaan.
Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan tepi lebuh raya di Pandamaran, Klang, suspek mengarahkan mangsa berhenti lalu melepaskan mangsa dan turun di tepi lebuh raya itu lalu melarikan diri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg