Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes tembakan KLIA: Pengawal peribadi stabil lepas pembedahan

Apr 17, 2024 | 2:51 PM
Encik Muhammad Nur Hadith Zaini tertembak apabila seorang lelaki cuba menembak isterinya, yang juga majikan Encik Muhammad Nur, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Encik Muhammad Nur Hadith Zaini tertembak apabila seorang lelaki cuba menembak isterinya, yang juga majikan Encik Muhammad Nur, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto FACEBOOK SITI NORAIDA HASSAN

KUALA LUMPUR: Pengawal peribadi yang cedera parah akibat tertembak dalam satu kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Encik Muhammad Nur Hadith Zaini, selesai menjalani pembedahan usus di Hospital Cyberjaya pada 16 April.

Isterinya, Cik Siti Noraida Hassan, berkata suaminya kini diletak di bawah pemantauan rapi doktor. Doktor berkata suaminya mungkin perlu menjalani rawatan dialisis sementara, ujar Cik Siti Noraida.

“Limpa suami saya juga cedera, doakan sembuh segera,” katanya lapor Astro AWANI.

Ibu tiga anak itu berkata keadaan Encik Muhammad Nur sekarang stabil. Dalam satu kemas kini di laman Facebook peribadinya, beliau memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan dan keselamatan suaminya.

Dalam kejadian pada 1.20 pagi 14 April, seorang lelaki, Hafizul Hawari, 38 tahun, melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di Balai Ketibaan KLIA.

Wanita berkenaan terselamat, tetapi satu das tembakan itu terkena Encik Muhammad Nur, pengawal peribadinya.

Hafizul ditangkap polis di depan sebuah hospital swasta di Kota Bharu, Kelantan, kira-kira 36 jam selepas melarikan diri setelah kejadian itu dan kini ditahan reman tujuh hari.

Dia dipercayai merancang melarikan diri ke Makkah melalui Thailand sebelum ditangkap.

Polis turut merampas daripadanya sejumlah wang tunai dalam mata wang riyal dan baht, sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria bersama 33 peluru hidup, mercun bola, enam telefon bimbit, pasport dan empat kad pengenalan milik individu lain.

Hafizul dijejak menginap di sebuah hotel di Kota Bharu dengan mendaftar masuk menggunakan identiti individu lain dalam salah satu kad pengenalan yang dirampas itu.

Dia diterbangkan dari Kota Bharu ke Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Subang, Selangor, pada 16 April, untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam bagi siasatan lanjut.

Hafizul, yang memakai pelitup muka dan baju lokap berwarna ungu, tiba dengan pesawat PDRM dan dikawal ketat.

Berdasarkan siasatan sejauh ini, polis mengesahkan masalah peribadi menjadi motif dia melepaskan tembakan ke arah isterinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg