Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes tumbuk pemandu wanita: Tentera ditahan, bantu siasatan

Mar 31, 2025 | 1:38 AM
Dalam klip video berdurasi 22 saat itu, pemandu wanita terbabit membuka pintu sebelum lelaki yang memakai baju merah cuba mencederakannya kerana dikatakan melanggar anak perempuannya.
Dalam klip video berdurasi 22 saat itu, pemandu wanita terbabit membuka pintu sebelum lelaki yang memakai baju merah cuba mencederakannya kerana dikatakan melanggar anak perempuannya. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO TIKTOK

SEREMBAN: Seorang anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan kes seorang pemandu wanita ditumbuk di Jalan Persiaran Senawang 4, dekat Taipan, pada 29 Mac.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, mengesahkan perkembangan itu dalam satu kenyataan pada 30 Mac.

“Tangkapan dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban pada petang 30 Mac dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Terdahulu, insiden kira-kira 10.15 malam itu tular di media sosial, menunjukkan seorang wanita yang memandu kereta ditumbuk seorang lelaki dekat Taipan Senawang.

Kejadian dipercayai akibat lelaki terbabit berang anaknya dilanggar pemandu kereta jenis Perodua Axia berkenaan ketika mengekorinya melintas jalan.

Dalam klip video berdurasi 22 saat itu, pemandu wanita terbabit membuka pintu sebelum lelaki yang memakai baju berwarna merah cuba mencederakannya.

Bapa kepada kanak-kanak yang dikatakan dilanggar itu kemudian berjalan ke bahagian hadapan kereta sebelum mengalihkan kanak-kanak itu ke tepi jalan.

Mengulas lanjut, Mohamad Hatta berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Axia yang dipandu wanita berumur 28 tahun itu dalam perjalanan dari Mydin Senawang menghala ke Senawang.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba, seorang pejalan kaki wanita berumur 34 tahun dan anak perempuannya berumur tujuh tahun, dikatakan melintas jalan dari arah sebelah kiri ke sebelah kanan.

“Akibat jarak yang sudah dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak, lalu dikatakan melanggar pejalan kaki itu,” katanya.

Mohamad Hatta berkata akibat kemalangan itu, pejalan kaki bersama anak perempuannya cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

“Dalam masa sama, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan terhadap lelaki itu yang dikatakan menggunakan kekerasan jenayah terhadap pemandu kereta.

“Wanita itu dikatakan lebam di bahagian rusuk sebelah kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala selain keretanya juga mengalami kerosakan,” katanya.

Mohamad Hatta menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian yang boleh mencetuskan ketegangan dan patuh kepada undang-undang.

Katanya, individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairul Aswad Mazlan, di talian 011-10843873 atau boleh terus ke mana- mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam laporan Kosmo! pula, pemandu wanita yang menjadi mangsa kes tumbuk tersebut menjelaskan beliau tidak mampu memaafkan pelakunya kerana tidak pernah dilayan begitu teruk oleh adik-beradik lelaki sendiri sepanjang kehidupan 27 tahun.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ira, berkata bapanya, seorang pesara guru, memberi didikan terbaik buatnya termasuk mengaku sekiranya ada melakukan kesalahan.

“Masa saya terlanggar pun, saya tak cakap apa-apa. Saya tak melenting, tak melawan, nak keluar kereta pun tak sempat. Niat apabila buka pintu kereta nak minta maaf, tetapi saya tidak diberi peluang untuk bercakap.

“(Pelaku) datang terus bagi (tumbuk). Untuk saya memaafkan dia, susah kalau dia sendiri tidak berfikir sebelum bertindak. Saya tak akan tarik kes.

“Selepas saya buka pintu (kereta), dia hayun tangan untuk menumbuk. Saya palingkan muka dan tumbukan itu terkena di belakang kepala. Lelaki itu ke depan mengambil anaknya dan letak di tepi.

“Sekali lagi dia hayun tangan untuk tumbuk muka saya, tapi saya berpaling dan terkena belakang kepala. Kali ketiga dia tumbuk perut saya,” katanya ketika dihubungi pada 30 Mac.

Menurut ibu kepada dua anak berusia tujuh dan lima tahun itu, beliau berasa kasihan dengan nasib kanak-kanak yang dilanggar, namun menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan keselamatan anak-anak terutama ketika jalan sesak.

“Masa kejadian saya baru beli baju Raya adik di pasar raya berdekatan. Memang saya lihat kereta di kiri, kanan dan hadapan. Secara tiba-tiba selepas sebuah kenderaan membelok di hadapan, saya teruskan perjalanan (dan) terlanggar. Nampak dan sedar bila dah terlanggar,” katanya yang menyerahkan kes kepada pihak polis.

Bukan berdendam, namun wanita itu menegaskan ahli keluarganya, termasuk abang kandung tidak pernah berkasar dengannya selama ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg