Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Purata kes buli yang stabil bukan masanya rasa lega

Nov 10, 2024 | 5:30 AM
Video yang menunjukkan kejadian buli yang semakin menular sejak kebelakangan ini dengan unsur seperti kata-kata kesat dan perbuatan ganas tumbuk dan sepak terajang. 
Video yang menunjukkan kejadian buli yang semakin menular sejak kebelakangan ini dengan unsur seperti kata-kata kesat dan perbuatan ganas tumbuk dan sepak terajang.  - Foto fail

Masih teringat perasaan yang membelenggu jiwa saya melihatkan video yang menunjukkan kejadian buli yang semakin tular kebelakangan ini.

Rakaman itu memaparkan perbuatan kejam, dengan unsur kata-kata kesat dan perlakuan ganas secara fizikal seperti tumbuk dan sepak terajang.

Yang membuat saya lebih risau adalah ia melibatkan pelajar sekolah – masih begitu muda.

Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkata Kementerian Pendidikan (MOE) memandang serius segala bentuk tingkah laku yang menyakitkan perasaan orang lain dan sedang mangsa menerima sokongan yang diperlukan, hukuman yang dijatuhkan ke atas si pelaku perlu jalan seiring dengan pemulihan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang Parlimen pada 14 Oktober semasa menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen (AP) – termasuk Dr Wan Rizal Zakariah, Cik Hany Soh, dan Encik Gerald Giam Yean Song – tentang cara sekolah menangani kes buli dan langkah yang diambil bagi mencegahnya.

Menurut Encik Chan, jumlah purata kes buli telah stabil sejak lima tahun lalu.

Namun, adakah ini melegakan kita?

Sambil menyuap nasi kepada anak saudara saya, dengan matanya terpaku kepada permainan di telefon bijaknya, saya menjadi prihatin.

Saya tidak dapat bayangkan anak saudara saya dalam situasi seperti apa yang saya lihat di telefon bimbit beberapa jam sebelum itu.

Hubungan kami rapat. Saya melihat dia membesar sejak kecil lagi.

Seiring dengan apa yang dikatakan Encik Chan, saya juga berpendapat bahawa bimbingan dan kerjasama keluarga penting dalam membentuk perwatakan anak.

Bagi saya, keluarga merupakan asas bagi membentuk nilai dan sikap anak.

Jika mereka tidak diajar menghormati orang lain, atau jika mereka menyaksikan tindakan kekerasan dalam rumah, ini boleh membentuk pemikiran bahawa perbuatan buli adalah cara untuk mendapatkan kuasa atau populariti di sekolah.

Adakah pelajar sekarang sedang “mengikuti arus” dengan tanggapan bahawa pembulian itu satu trend?

Dalam dunia yang semakin terhubung ini, pelajar sering terdedah kepada media sosial yang boleh mempengaruhi pandangan mereka.

Jika kes buli ditonjolkan sebagai sesuatu yang dianggap biasa atau lucu dalam sesebuah video, ini mungkin mencipta satu naratif dengan pelajar berasa tindakan itu boleh diterima.

Kita juga perlu ambil kira konteks psikososial yang lebih luas.

Pelajar kini menghadapi pelbagai tekanan, baik dari segi akademik mahupun sosial.

Dalam usaha untuk diterima dalam kalangan rakan mereka, sesetengah mereka mungkin berasa terpaksa terlibat dalam tingkah laku yang merugikan ini.

Ini menunjukkan perlunya pendekatan yang lebih holistik dalam menangani isu pembulian – bukan sahaja menangani kejadiannya, bahkan faktor penyebabnya.

Walaupun bilangan kes buli mungkin dilihat stabil, kita tidak boleh mengabaikan kesan jangka panjang terhadap mangsa dan masyarakat secara keseluruhan.

Pendidikan dan kesedaran yang berterusan adalah kunci untuk membentuk generasi yang lebih bersifat empati dan bertanggungjawab.

Ruang harus diberi kepada kanak-kanak untuk berbicara tentang pengalaman mereka dan memastikan mereka tahu bahawa pembulian tidak boleh diterima sama sekali.

Hanya dengan cara ini kita dapat membentuk masyarakat yang lebih aman dan harmoni, dengan setiap individu dihormati dan dilindungi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg