Ketua Bersatu Melaka baru dilantik susulan kemelut politik dalaman parti
Ketua Bersatu Melaka baru dilantik susulan kemelut politik dalaman parti
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, melantik Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Datuk Radzi, yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, mempunyai pengalaman dan kepimpinan yang mampu membina kekuatan dalam kalangan pemimpin baru yang komited kepada idealisme perjuangan Bersatu.
Tugas utama Datuk Radzi, menurut beliau, adalah menyusun semula struktur kepimpinan Bahagian-Bahagian Bersatu di Melaka dalam kalangan pemimpin tempatan termasuk anak muda dan golongan karyawan dalam masa terdekat.
“Pasukan kepimpinan yang baru diyakini akan meneruskan perjuangan rakyat dan menjana kekuatan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka pada hujung tahun ini (2026),” kata Azmin dalam kenyataan bertarikh 25 Februari.
Pelantikan Datuk Radzi, yang juga Naib Presiden Bersatu, untuk tugas itu hadir selepas beliau sebelum ini dilantik menjalankan tugas Timbalan Presiden bersama Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, susulan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pelantikan Datuk Radzi sebagai Ketua Bersatu Melaka menggantikan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, yang meletakkan jawatan akibat kemelut politik dalaman parti, lapor MalaysiaGazette.
Bersatu Melaka turut dilihat goyah selepas lima daripada enam jawatankuasa bahagian mengumumkan pembubaran serta-merta semalam.
Bahagian terlibat ialah Masjid Tanah; Hang Tuah Jaya; Tangga Batu; Alor Gajah dan Jasin, dengan Kota Melaka merupakan satu-satunya bahagian yang tidak terbabit dalam keputusan tersebut.
Namun, Ketua Pemuda Bersatu Melaka, Encik Jefri Safry, menegaskan parti itu tidak terbubar meskipun jawatankuasa beberapa bahagian sudah dibubarkan.
Encik Jefri menjelaskan pembubaran jawatankuasa bahagian itu bukan petanda kelemahan, sebaliknya langkah strategik untuk memperkemas struktur dalaman dan menyusun semula gerak kerja agar lebih teratur dan berkesan.
Beliau menambah kepimpinan bahagian, termasuk sayap Pemuda (Armada) dan Srikandi, telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk pengumuman pembubaran oleh Tan Sri Abdul Rahim.

