Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua ‘Geng Musang’ ditahan curi kabel Projek Laluan Rel Pantai Timur

Nov 24, 2025 | 1:49 PM
ecrl, geng musang
Dua suspek lelaki ditahan pada kira-kira 9 malam bagi membantu siasatan kecurian kabel projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bentong, Temerloh dan Kuantan. - Foto fail

TEMERLOH (Pahang): Polis menahan dua lelaki termasuk ketua kumpulan ‘Geng Musang’ kerana disyaki terbabit dengan kes mencuri kabel Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan menyebabkan kerugian lebih RM825,000 ($260,584).

Ketua Polis Daerah Temerloh Penolong Pesuruhjaya (ACP) Mohd Nasyim Bahron berkata dua suspek terbabit ditahan pada kira-kira 9 malam, 20 November, di tepi Jalan Kampung Batu Tiga, Jalan Karak, Mentakab, Temerloh.

Menurutnya, suspek berusia 32 tahun ditahan dikenali dengan nama gelaran ‘Musang’ yang dipercayai ketua kumpulan penjenayah terbabit dan ditahan bersama seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.

Tambahnya, dua suspek terbabit diburu polis sejak Ogos bagi membantu siasatan kecurian kabel projek ECRL di Bentong, Temerloh dan Kuantan.

“Susulan penahan polis turut merampas senjata tajam dan sejumlah dadah,” katanya menerusi kenyataan media pada 23 November.

ACP Mohd Nasyim berkata dua lelaki terbabit juga disahkan positif dadah dan salah seorang suspek mempunyai enam rekod jenayah dan kesalahan dadah direman hingga 24 November bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, lapor Harian Metro.

Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan & Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata tajam berbahaya iaitu sebilah kerambit.

Terdahulu, pada September, polis menahan lapan lelaki termasuk dua pekerja dan pemilik barang lusuh di Kuantan, Bentong dan Kuala Lumpur kerana disyaki terbabit dengan kes mencuri kabel projek ECRL.

Susulan tangkapan semua suspek berusia antara 29 dengan 45 tahun itu, polis menemui semula kabel projek terbabit sepanjang hampir 5,000 meter.

Kabel itu dijumpai di sebuah kedai barang lusuh di Kuala Lumpur dan sebahagian lagi ditemui berhampiran sebuah rumah dan kawasan hutan di Temerloh.

Semua suspek ditahan selepas syarikat kontraktor pembinaan ECRL mendedahkan sejumlah kabel projek terbabit di jajaran Temerloh dan Lanchang serta jajaran Lanchang dan Bentong dicuri, sejak Jun.

Syarikat terbabit mendakwa kecurian itu berpotensi menjejaskan jadual penyiapan projek ECRL menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dan Kota Bharu, Kelantan, merentasi Pahang dan Terengganu.

Jajaran sepanjang 665 kilometer itu dijangka siap akhir 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg