KUALA LUMPUR: Sebuah Unit Siber Teknikal dan Taktikal ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan keupayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menangani ancaman jenayah dalam talian secara lebih efektif.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata 17 perjawatan telah diisi bagi membolehkan unit berkenaan memulakan operasi fasa pertama.
“Langkah ini diharapkan dapat menambah keupayaan PDRM menangani ancaman siber secara berkesan,” katanya dalam ucapan ketika Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi November 2024 anjuran JSJK di Bukit Aman di sini pada 15 November, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata modus operandi penjenayah yang terlibat dalam jenayah komersial semakin kompleks, lebih-lebih lagi dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, satu contoh membimbangkan ialah penggunaan ‘teknologi palsu asli’ atau ‘deepfake’ yang membolehkan penjenayah mencipta kandungan palsu dalam bentuk video, gambar atau audio untuk memperdayakan mangsa.
“Kemajuan ini menuntut kita mengadaptasi langkah lebih proaktif dan berinovatif bagi mengekang eksploitasi penggunaan teknologi terbabit, terutama dalam jenayah penipuan dalam talian,” ujar Tan Sri Razarudin.
Selain itu katanya, rasionalisasi perjawatan di JSJK juga merupakan antara usaha yang telah dijalankan bagi mendepani cabaran baru itu.
Mengenai statistik jenayah komersial, Tan Sri Razarudin berkata jenayah penipuan dalam talian melibatkan enam modus operandi utama iaitu jenayah telekomunikasi, e-kewangan, e-dagang, Love Scam, pinjaman dan pelaburan tidak wujud merupakan kategori paling kerap dilaporkan setiap tahun.
Tan Sri Razarudin berkata bermula Januari hingga September 2024, sebanyak 24,671 kes jenayah penipuan dalam talian dicatatkan dengan nilai kerugian RM1.04 bilion ($310 juta).
Beliau berkata bagi aspek tindakan pembanterasan, bermula Januari hingga September 2024, sebanyak 17,661 operasi dan serbuan dilakukan dengan polis berjaya menahan 18,506 individu atas pelbagai kesalahan jenayah komersial dengan 13,184 pertuduhan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg